KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan DAP dan Pakatan Harapan (PH) kini sudah sampai kepada kemuncak perjalanan politik masing-masing.
Apa yang belum pasti, kata bekas Menteri Ekonomi berkenaan, sama ada DAP dan PH menyedari hakikat itu atau sebaliknya.
Dakwa bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, meskipun 88 peratus perwakilan DAP semalam membuat keputusan untuk kekal berbanding meninggalkan Kerajaan Perpaduan, namun parti itu tersepit dalam kedua-dua keputusan tersebut.
“Kalau keluar, mereka kena buat keputusan yang saya dan Nik (Nik Nazmi Nik Ahmad) sudah buat, terima hakikat yang mungkin sampai mati kami tidak akan kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Saya tidak pasti mereka bersedia untuk benda itu. Jadi mereka kekal,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Namun, apabila DAP kekal katanya, strateginya adalah jelas iaitu mengguna kuasa dan pengaruh dalam kerajaan untuk melindungi undi Cina dan kerusi Cina, selepas apa yang berlaku di Johor dan di Negeri Sembilan.
Ujar beliau, sekiranya strategi itu berjaya, DAP mungkin menang antara 30 hingga 40 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Tapi PKR dengan AMANAH nampak gayanya payah.
“Katakanlah DAP menang 35, PKR menang 5, AMANAH menang 1, pada ketika itu, Pakatan Harapan sudah tidak wujud,” katanya.
Maka, dakwanya, DAP ketika itu akan menjadi seperti parti Gerakan yang meskipun bermula sebagai parti berbilang kaum, namun lama-kelamaan menjadi parti kaum Cina.
“Gerakan pun mula sebagai parti berbilang kaum. Tokoh-tokoh ilmiah Melayu, progresif Melayu, semuanya masuk.
“Lama-kelamaan ia jadi parti Cina, dan orang Melayu tidak pergi dekat. Hari ini Gerakan cium tangan PAS.
“Trend itu bukan teori. Di Johor, kos kekalahan jatuh kepada PKR dan AMANAH. Di Negeri Sembilan pun begitu.
“Jadi akhirnya bukan DAP yang terpaksa buat pilihan. Pengundi bukan Melayu yang terpaksa buat pilihan,” katanya. – MalaysiaGazette
















