Muhamad Iyad Addian ketika bertemu Asyraf Wajdi Dusuki pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Nasib pelajar yatim piatu yang buntu untuk menjelaskan yuran pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi perkongsian di Facebooknya malam ini, Asyraf berkata, beliau telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPT untuk memberi pelepasan yuran kepada Muhamad Iyad Addian, sekali gus membolehkan pelajar berkenaan menduduki ujian.

Malah, kata beliau, sekiranya Muhamad Iyad berjaya mencapai keputusan yang baik, MARA akan memberikan pembiayaan penuh sehingga pelajar berkenaan tamat belajar.

Lebih menggembirakan, Asyraf Wajdi turut menawarkan untuk mengambil Muhamad Iyad sebagai anak angkat dan akan membantunya sehingga tamat pengajian.

“Saya pesan pada Iyad bahawa hanya dengan ilmu boleh merubah kehidupan beliau masa depan, dengan izin Allah,” katanya.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, beliau bertemu Muhamad Iyad pagi tadi untuk mendengar sendiri kisah perjalanan hidupnya selepas menerima maklumat berkenaan pelajar yatim piatu berkenaan.

Menurutnya, seawal usia 16 tahun, Muhamad Iyad kehilangan ibu pada Januari 2021 akibat komplikasi kencing manis dan masalah buah pinggang, sebelum enam bulan kemudian, ayahnya pula meninggal dunia akibat penyakit kencing manis.

Katanya, selepas tamat SPM pada 2022, Muhamad Iyad terpaksa menangguhkan pengajian kerana kekangan kewangan.

Selama hampir dua tahun, jelasnya, Muhamad Iyad bekerja di kedai makan dan mengumpul duit sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mampu menyambung pengajian dalam bidang Sports Management di KPTM Bangi.

“Saya cukup kagum dengan semangatnya. Dalam keadaan kehilangan ibu dan ayah, dia tetap berusaha mencari jalan untuk meneruskan pelajaran.

“Beliau juga kerja sambilan di kedai makan, sekitar Bangi untuk menampung kehidupan termasuk kos makan dan minum harian.

“Walaupun dalam serba kekurangan, beliau tetap berdikari untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Namun, tambahnya, disebabkan syarat dasar semasa keputusan SPM, Muhamad Iyad belum layak menerima pinjaman MARA dan kini perlu menjelaskan yuran bagi membolehkannya menduduki peperiksaan akhir Semester Satu.

“InsyaAllah, saya terus menghubungi CEO KPTM untuk beri pelepasan yuran untuk adik ini menduduki ujian.

“InsyaAllah jika keputusannya baik, MARA akan memberikan pembiayaan penuh sehingga dia tamat belajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast