Sebanyak 100 laluan 'e-gate' di kompleks ICQ disediakan untuk menyokong pelepasan imigresen menggunakan kod QR atau pasport.

JOHOR BAHRU – Pengguna hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk urusan imigresen apabila menggunakan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang mula beroperasi tahun depan.

Pengarah Projek RTS Link, Zulkifli Mohamed berkata, pengguna  tidak perlu beratur panjang bagi urusan tersebut kerana terdapat 100 laluan e-gate di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar.

“Katanya, sebaik pengguna tiba di balai ketibaan, pengguna akan terlebih dahulu melalui pengimbas badan sebelum meneruskan langkah ke laluan ‘e-gate’.

“Bagi mengelakkan situasi kesesakan khususnya di waktu puncak, sebanyak 100 laluan e-gate di Kompleks ICQ disediakan untuk menyokong pelepasan imigresen menggunakan kod QR atau pasport,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat bersama pengamal media di bangunan berkenaan, malam tadi.

Selain itu, Zulkifli berkata, pengimbas badan turut berupaya mengesan barangan larangan ketika pengembara berjalan melaluinya.

“Sekiranya pengimbas mengesan unsur yang mencurigakan, pegawai bertugas akan mengarahkan pengembara ke kaunter kedua untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan gangguan pada kelancaran laluan,” katanya.

Anthony Loke melawat perkembangan RTS Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar, Johor Bahru, semalam.

Tambahnya, selain laluan e-gate, Kompleks ICQ itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik penyusuan bayi, surau dan kiosk tiket layan diri.

Dari aspek keselamatan katanya, pejabat agensi keselamatan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) turut ditempatkan di kompleks tersebut.

“Selain itu, terdapat 1,000 kamera liar tertutup diletakkan di setiap tingkat kompleks bersepadu itu bagi memantaucsetiap pergerakan pengguna,” ujarnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melawat kompleks ICQ itu untuk melihat perkembangan projek RTS Link, pada pagi ini.

Selain 100 laluan e-gate, kompleks ICQ Bukit Chagar turut dilengkapi dengan 10 laluan pemeriksaan keselamatan untuk pemeriksaan badan, 18 pengimbas bagasi, serta laluan khas bagi penumpang yang bergerak tanpa bagasi.

Semua laluan itu bertujuan untuk meminimumkan kesesakan dan memastikan kelancaran pergerakan penumpang.

RTS Link yang dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan adalah perkhidmatan rel ulang-alik sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di daerah ini ke Woodlands North di Singapura.

Apabila mula beroperasi kelak, dijangka mengubah secara menyeluruh rutin harian bagi 350,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari, menjadikannya antara laluan rentas sempadan tersibuk di dunia.

Sistem ini direka untuk mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan sasaran penumpang harian seramai 40,000 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast