TEMERLOH – Seorang pemandu lori tangki minyak mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian dua beranak di kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, di sini pada 14 Ogos lepas.
Tertuduh, Norazlan Mahayuddin, 37 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Adlina Abu Johan di Mahkamah Majistret Temerloh di sini, hari ini selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jruubahasa.
Mengikut pertuduhan, Norazlan didakwa memandu lori tangki dengan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian kepada Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39 dan Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam,12 pada 14 Ogos lepas kira-kira jam 4 petang.
Bagi kesalahan tersebut, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak mlebihi 10 tahun dan denda tidak RM50,000 jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Razim Alias, manakala tertuduh diwakili Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.
Amal Razim memohon wang jaminan paling minimum dibenarkan terhadap tertuduh berikutan Norazlan yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan hanya berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan masih perlu menanggung isteri serta ibunya.
Bagaimanapun, Majistret Anis Adlina membenarkan wang jaminan berjumlah RM10,000 dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua pertuduhan tersebut berserta syarat seorang penjamin.
Beliau turut menetapkan tarikh 1 Oktober 2026 bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, dalam kejadian menyayat hati kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter bahan api.
Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbakar dan dua beranak terbabit rentung, manakala pemandu lori dilaporkan cedera ringan.
Nahas berlaku ketika kenderaan berat itu dari arah Bera ke Temerloh dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan terbalik serta menghempap kereta dinaiki dua beranak terbabit.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang, di sini semalam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Ibu, anak dipercayai mangsa rentung kemalangan kereta dan lori tangki
















