PUTRAJAYA – Kerajaan belum memutuskan sama ada akan mengekstradisi pembantu juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki membawa dadah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melengkapkan proses mendapatkan maklumat daripada individu berkenaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Menurutnya, beliau menerima taklimat dari semasa ke semasa daripada Pengarah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, termasuk mengenai sesi temu bual pasukan narkotik Malaysia dengan individu berkenaan di Indonesia.
“Saya cenderung untuk mengatakan biar bahagian Narkotik menyempurnakan dulu sebelum menentukan hala tuju ke depan nanti, termasuklah soalan sama ada kita nak bawa dia balik dan sebagainya.
“Hakikat dia ditahan di sana, tentunya dia tertakluk pada undang-undang negara di mana dia ditahan, dan negara itu pun ada undang-undang dia sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Jabatan Imigresen Malaysia, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Saifuddin berkata, antara perkara penting yang sedang diteliti ialah corak kegiatan individu terbabit bagi menentukan sama ada ia mempunyai kaitan dengan elemen jenayah terancang atau dilakukan secara persendirian.
“Kita sekarang adalah untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat daripada subjek untuk kita mengetahui tentang pattern, apakah ia merupakan sebahagian daripada elemen jenayah terancang ataupun ia merupakan tindakan-tindakan persendirian dan sebagainya.
“Kita kena establish semua fakta itu sebelum menentukan hala tuju seterusnya,” katanya.
Minggu lalu, Hussein Omar memberitahu empat pegawai polis akan menemui dan menyoal siasat juruterbang Malaysia yang ditahan berhubung dakwaan pengedaran dadah di Jakarta, Indonesia, ketika pihak penyiasat memperluaskan siasatan terhadap sebuah sindiket pengedaran dadah.
Pegawai polis diberi tempoh dua hari untuk menyoal siasat suspek bermula Rabu lalu.
Langkah tersebut membolehkan penyiasat Bukit Aman membandingkan maklumat yang diperoleh daripada suspek dengan maklumat yang dikumpulkan dalam negara.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pembantu juruterbang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Berdasarkan kenyataan Polis Indonesia, pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan Methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta berdasarkan harga pasaran Indonesia. – MalaysiaGazette
















