SHAH ALAM – Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Seksyen 7 di sini mendakwa dibelasah seorang pelajar Tingkatan 5 sehingga mengalami kecederaan pada kepala, leher dan kedua-dua telinga, selain kemungkinan berdepan masalah pendengaran.
Lebih membimbangkan, keluarga mangsa mendakwa pelajar terbabit kini mengalami trauma sehingga takut untuk kembali ke sekolah selepas didakwa menerima ugutan daripada kumpulan sama.
Penasihat undang-undang keluarga, Datuk Azar Irwan Arifin berkata, mangsa, Edris Adrian Azwan, telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam susulan kejadian terbabit.
Menurutnya, laporan perubatan bertarikh 12 Ogos 2026 yang disediakan Dr Lokitha Pulayantran turut merekodkan kecederaan pada bahagian belakang leher serta kedua-dua telinga mangsa.
“Doktor mengesan kecederaan pada belakang leher dan kedua-dua telinga, selain mangsa mungkin mengalami sedikit kehilangan pendengaran akibat kejadian ini.
“Keluarga juga mempunyai laporan perubatan dan pihak doktor sedang memantau keadaan pendengarannya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Azar berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada kira-kira jam 3.30 petang, 12 Ogos lalu di Balai Polis Seksyen 6 manakala individu yang didakwa terlibat turut membuat laporan balas pada hari sama.
Katanya, polis kemudiannya menahan seorang suspek pada 13 Ogos dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Seksyen 323 berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.
“Manakala Seksyen 506 berkaitan ugutan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Azar berkata pihaknya turut dimaklumkan polis sedang merakam percakapan saksi-saksi yang berkaitan dan berharap perkembangan siasatan dapat dimaklumkan kepada keluarga dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan keluarga mempertimbangkan tindakan sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab, termasuk penjaga suspek memandangkan individu terbabit masih di bawah umur.
“Antara tuntutan yang boleh dipertimbangkan termasuk kos rawatan, kecederaan yang dialami mangsa serta ganti rugi teladan yang terpulang kepada mahkamah untuk menentukan.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak menimba ilmu.
“Apabila kejadian seperti ini berlaku, bukan sahaja mangsa yang trauma, malah seluruh keluarga dan pelajar lain turut terkesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette














