Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Pra Pelepasan Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Kes dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang ditemukan selepas dilaporkan hilang sebelum ini masih dalam siasatan polis untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua pelajar itu telah memberi keterangan kepada polis pada Isnin lalu bagi membantu siasatan mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Menurutnya, waktu tempoh bertenang terpaksa diberikan kerana salah seorang pelajar diserang panik ketika ditemui dan perlu dimasukkan ke hospital.

“Kita bagi ruang sikit, sebab salah seorang pelajar itu bila kita dapat jumpa, dia macam ‘panic attack atau ‘shock’ sebab itu kita hantar ke hospital.

“Jadi kita tak mahu mengganggu psikologi dan emosi mereka, biar bertenang, kita bagi tempoh seminggu ini untuk mereka dapat disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di sidang media Pra-Pelepasan Pelajar Tajaan MARA Ke Luar Negara Perdana 2026, di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Sebelum ini,  media melaporkan dua pelajar Tingkatan Empat MRSM Alor Gajah dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu sebelum ditemukan di sekitar Pasar Seni, di sini empat hari kemudian.

Kedua-dua pelajar terbabit mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Alor Gajah selepas kurang sihat sebelum dilaporkan hilang manakala polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Ditanya sama terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan pelajar terbabit ke klinik, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu sedang diperhalusi.

Katanya, kejadian itu tidak wajar dijadikan asas untuk mewujudkan peraturan baharu yang boleh menjejaskan aktiviti serta program pelajar MRSM.

Beliau turut menyifatkan insiden itu adalah kes terpencil yang perlu diketahui motif di sebalik apa yang berlaku.

“Pelajar ini pun perlukan proses pematangan dan daripada dahulu lagi, ini bukan benda baru, pelajar memang boleh keluar bandar.

“Katakan sebulan itu sekali atau pun dua kali mengikut syarat tertentu.

“Cuma kita hendak tahu faktor lain yang menjurus kepada kes terpencil ini dan sebab itu saya tak boleh membuat kenyataan selagi mana kita tak dapat gambaran yang sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here