KESIHATAN merupakan keperluan asas manusia tidak ternilai yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara. Namun, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan kos perkhidmatan kesihatan yang meningkat, isu pembiayaan Kesihatan kini menjadi semakin kritikal.
Malaysia sebenarnya telah disenaraikan Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai negara yang telah mencapai liputan kesihatan menyeluruh atau Universal Coverage. Walau bagaimanapun, masih ramai rakyat di negara ini yang bergelut untuk membiayai kos perubatan. Hal ini terbukti berdasarkan rayuan-rayuan bantuan di media-media sosial dan liputan-liputan akhbar yang semakin meningkat.
Sistem kesihatan negara
Sistem kesihatan Malaysia dibiayai melalui dua saluran utama, iaitu kerajaan dan swasta. Kerajaan memperuntukkan sebahagian besar dana daripada cukai untuk menampung kos perkhidmatan kesihatan di fasiliti kerajaan. Subsidi ini membolehkan caj yang rendah dikenakan kepada pesakit, bayaran yang jauh lebih murah berbanding perkhidmatan di sektor swasta.
Namun begitu, tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmatan kemudahan ini. Masa menunggu untuk mendapatkan temu janji di hospital kerajaan mendorong sebilangan masyarakat memilih perkhidmatan swasta untuk rawatan yang lebih cepat.
Cabaran pembiayaan kos perubatan
Kesulitan masyarakat bertambah apabila kos rawatan meningkat melebihi kemampuan pembiayaan individu, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai perlindungan insurans atau simpanan yang mencukupi. Situasi seperti ini memaksa sesetengah individu untuk membuat rayuan awam bagi mendapatkan bantuan kewangan melalui media sosial.
Bagi golongan berpendapatan rendah pula, ketidakmampuan dalam mendapatkan rawatan awal boleh mengakibatkan kesihatan mereka semakin merosot. Keadaan kesihatan yang semakin teruk memerlukan kos rawatan yang lebih tinggi. Lingkaran ini dapat memburukkan lagi keadaan sosio-ekonomi golongan tersebut.
Bantuan pembiayaan kesihatan sedia ada
Kerajaan telah memperkenalkan beberapa skim pembiayaan kesihatan bagi golongan B40 (kumpulan pendapatan 40 peratus terbawah) termasuk Skim Peduli Kesihatan (PeKa) untuk B40, Skim Perubatan Madani, dan MySalam. Tambahan lagi, terdapat pelbagai lagi saluran bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi lain seperti Tabung Kebajikan Pesakit Hospital, Tabung Bantuan Perubatan KKM, Baitulmal, Pusat Zakat, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Statistik dan hasil kajian terkini
Berdasarkan kajian dan temubual yang dijalankan, ramai individu dalam kalangan B40 tidak mengetahui wujudnya pelbagai bantuan ini. Individu yang mempunyai pengetahuan pula seringkali keliru tentang cara memohon dan jenis bantuan yang disediakan. Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penggunaan bantuan Kesihatan masih berada pada tahap yang rendah. Laporan PeKa B40 2021 menunjukkan hanya sekitar 620,000 daripada 5.9 juta kumpulan B40 memanfaatkan skim tersebut sehingga 31 Mei 2022.
Tinjauan yang dibuat dalam kalangan warga PPRT ketika beberapa program mendapati ramai warga yang tahu akan kewujudan PeKa B40, Skim Perubatan Madani, dan MySalam serta beberapa saluran bantuan pembiayaan kesihatan. Namun, pengetahuan tentang kelayakan dan cara menggunakannya masih kurang. Malah ramai individu yang menyangka bahawa mereka tidak layak mendapatkan bantuan tersebut.
Sebahagian warga yang merasakan mungkin layak pula tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya, malu atau tidak tahu untuk bertanya kepada siapa. Akibatnya, mereka terpaksa menghabiskan wang tabungan atau berhutang untuk membiaya kos rawatan.
Seiring dengan usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan kos kesihatan, masyarakat perlulah cakna tentang bantuan yang tersedia terutamanya untuk golongan yang berpendapatan rendah. Masyarakat umum termasuk petugas kesihatan juga perlu tahu akan perkara tersebut dan menjadi penyebar maklumat yang sahih kepada umum.
Peningkatan kesedaran dan akses kepada bantuan ini mampu mengurangkan masalah pembiayaan kesihatan, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyokong kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40.
Prof. Dr. Azimatun Noor Aizuddin
Jabatan Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
















