Premis di Puchong yang diserbu PDRM kerana disyaki melakukan penyeleweng minyak diesel bersubsidi menerusi Op Taring Bravo 1, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi menerusi Op Taring Bravo 1 di sebuah premis di Puchong, Selangor, hari ini.

Operasi oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Bahagian Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu turut menahan dua lelaki tempatan.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Zakibin Ashar, berkata kedua-dua suspek berusia 33 dan 64 tahun itu dipercayai masing-masing berperanan sebagai penjaga premis dan pemandu lori.

Katanya, serbuan dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi selepas risikan dan pemantauan mendapati premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi menyimpan serta mengendalikan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen atau permit sah.

“Pemeriksaan menyeluruh di lokasi berkenaan diteruskan sehingga kira-kira jam 1.30 petang.

“Hasil serbuan, pasukan operasi menemukan tujuh tangki skid serta tiga lori tangki yang mengandungi minyak diesel dalam kuantiti besar selain sebuah pam elektrik bersama hos yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, tujuh tangki skid yang dirampas mengandungi kira-kira 38,000 liter diesel, manakala tiga lori tangki masing-masing mengandungi kira-kira 10,900 liter, 1,000 liter dan 2,000 liter diesel.

Secara keseluruhan, katanya, kira-kira 51,900 liter minyak diesel dirampas dengan anggaran nilai RM231,993.

“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan minyak diesel, tiga lori tangki, tujuh tangki skid serta peralatan berkaitan dianggarkan RM919,022.40,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki, menyimpan atau menjual barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah.

Mohd Zakibin berkata kedua-dua individu yang ditahan bersama semua barang rampasan diserahkan kepada KPDN Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan diesel, kaedah pemerolehan dan pemindahannya, destinasi pengedaran serta kemungkinan penglibatan pihak lain.

“Pihak berkuasa juga sedang meneliti dokumen dan rekod berkaitan bagi menentukan tempoh operasi premis tersebut serta mengenal pasti keseluruhan rangkaian yang disyaki terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan keberkesanan penguatkuasaan berasaskan risikan serta kerjasama strategik antara PDRM dan KPDN dalam menangani kegiatan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Katanya, penyelewengan diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar subsidi kerajaan yang sepatutnya memberi manfaat kepada golongan dan sektor yang layak.

Sementara itu, sepanjang pelaksanaan Op Taring Bravo 1, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman merekodkan enam kes dengan 13 tangkapan serta nilai rampasan keseluruhan RM3.009 juta.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Ogos 2026 pula, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melancarkan 241 serbuan di seluruh negara dan menahan 415 individu atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barang kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan RM315.10 juta.

PDRM memberi amaran tindakan tegas dan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu, syarikat atau pemilik premis yang didapati terlibat dalam kegiatan menyeleweng, menyimpan, memindahkan atau memperdagangkan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here