KUALA LUMPUR – Dalam landskap pembangunan masyarakat moden, komitmen institusi pengajian tinggi tidak lagi terhad di dalam bilik kuliah semata-mata.
Kebolehan melangkaui sempadan geografi demi memperkasakan golongan terpinggir kini menjadi ukuran sebenar kualiti modal insan.
Kejayaan melintasi sempadan negara demi sebuah misi kemanusiaan terbukti apabila seramai 25 mahasiswa kesukarelawan dari Kelab Prime Mover UiTM, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menerusi Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau.
Misi kemanusiaan antarabangsa itu dibawakan khas untuk membantu dan memberi impak positif kepada komuniti luar negara, khususnya di panti asuhan.
Menerusi pelaksanaan Projek Safe, Clean and Green Together (GREAT), projek ini telah menyemaikan benih impak positif berasaskan pendidikan, kesihatan, dan kelestarian alam di Panti Asuhan Al-Muhsinin, Pekanbaru, Indonesia.
Ancaman kejahilan terhadap keselamatan tubuh badan kekal menjadi isu masyarakat yang kritikal.
Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dianggarkan satu daripada lapan kanak-kanak di seluruh dunia berdepan risiko eksploitasi atau pencabulan seksual sebelum menginjak usia dewasa.
Sebahagian besar kes berlaku disebabkan ketiadaan pendedahan awal mengenai batasan fizikal dan komunikasi mengenai hak peribadi.
Menyedari isu ini, mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah membawa modul khas Kempen Start Awareness From Early (SAFE).

Menerusi pendekatan yang interaktif, anak-anak di panti asuhan dididik mengenal hak tubuh mereka dengan memahami konsep sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat, serta membina keberanian moral untuk bersuara dan melaporkan sebarang ancaman seksual kepada orang yang dipercayai.
Selain perlindungan diri, misi ini turut menitikberatkan aspek kebersihan asas serta kelestarian alam sekitar.
Kanak-kanak Panti Asuhan Al-Muhsinin diajar langkah demi langkah teknik memberus gigi yang betul dan kaedah mencuci tangan berkesan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit melalui modul penjagaan kebersihan diri.
Inisiatif ini mendukung penuh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan).
Sementara itu, dalam mendepani krisis perubahan iklim global dan lambakan sisa pepejal tekstil, segmen Greenation: 3R (Eco-Print) diadakan dengan kerjasama NGO tempatan, Indonesian Youth Education and Social (IYes) Foundation yang membuka ruang kreativiti baharu.
Kanak-kanak diajar mengolah fabrik seperti beg canvas menggunakan teknik ketukan daun serta bunga bagi memindahkan warna semula jadi. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan sisa kimia, malah memupuk pendedahan awal kepada keusahawanan hijau.
“Misi ini membuktikan bahawa mahasiswa kita tidak hanya teruji di dalam bilik kuliah, malah berupaya menjadi ejen perubahan yang membawa impak ketara di peringkat serantau menerusi semangat kesukarelawan yang tinggi,” ujar Presiden Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban, Muhammad Irfan Haziq Abdul Razak,
Pengurus Projek, Emilia Natasha Nor Hisham pula menekankan bahawa pemerkasaan kepimpinan mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban di peringkat antarabangsa menjadi teras kejayaan program ini.
Kesemua mahasiswa bukan sahaja mengasah soft skills, malah membuktikan kebolehan dalam menguruskan diplomasi sukarelawan rentas negara.
Program yang diakhiri dengan majlis penutup serta pengagihan sumbangan keperluan asas ini menandakan satu mercu tanda baharu buat Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.
Menerusi platform Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM bukan sahaja belajar menjadi pemimpin di bilik kuliah, malah berupaya menjadi pemangkin perubahan yang memberi impak ketara buat masyarakat serantau.
Oleh Emilia Natasha Nor Hisham
Ahli Jawatankuasa
Global Volunteer Mission To West Sumatra-Riau, Indonesia
Kelab Prime Mover Uitm, Uitm Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
















