KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mengetahui sebab dakwaan syarikat itu terhadapnya berubah dalam saman berasingan yang difailkan pada Ogos 2021.
Shahrol Azral, 56, berkata demikian memberi keterangan sebagai saksi plaintif keempat dalam saman USD5.64 bilion yang difailkan oleh 1MDB pada Mei 2021 terhadap lapan defendan termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semasa pemeriksaan balas, peguam G.K. Ganesan yang mewakili bekas Pengarah Pelaburan 1MDB Kelvin Tan Kay Jin, merujuk Shahrol Azral kepada dakwaan yang dibuat terhadapnya dalam saman syarikat itu terhadap Deutsche Bank dan beberapa pihak lagi pada Ogos 2021.
Ganesan merujuk Shahrol Azral kepada beberapa perenggan dalam pernyataan tuntutan 1MDB saman itu yang mendakwa beliau melakukan pelanggaran kewajipan dan pecah amanah secara penipuan serta tindakan tidak bertanggungjawab dari segi korporat.
Ditanya mengapa 1MDB membuat dakwaan sedemikan terhadapnya dalam saman berasingan dan pada masa sama, memanggil beliau sebagai saksi pada prosiding ini, Shahrol Azral berkata soalan itu sepatutnya diajukan kepada syarikat berkenaan.
Shahrol Azral, yang mengakui bahawa beliau telah diminta memberi keterangan di mahkamah berkata, peranannya ialah untuk menyampaikan perkara sebenar dan bukan menuding jari kepada sesiapa.
Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau telah membuat perjanjian dengan pihak 1MDB sebagai pertukaran untuk memberi keterangan.
Ganesan: Memandangkan 1MDB sendiri telah menuduh anda melakukan kesemua pelanggaran ini, anda tidak mempunyai kredibiliti sebagai saksi bagi pihak 1MDB?
Shahrol Azral: Saya tiada komen.
Ganesan: Jadi, anda telah membuat perjanjian untuk menuding jari kepada anak guam saya, iaitu Kelvin Tan dan Datuk Seri Najib?
Shahrol Azral: Saya ke sini untuk bercakap benar, bukan untuk menyalahkan sesiapa.
1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.
Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Minggu lepas, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.
Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.
Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung Rabu depan. – BERNAMA

















Jasmine Loo yg terang-terangan merompak duit 1MDB dgn Jho Low, Lepas tu beli lukisan mahal, lari plak ke Myanmar…tiba2 1MDB tak dakwa perompak ni? drama giler apa ni? sangat menjijikkan