JAKARTAv- Malaysia dan Indonesia mempunyai potensi besar untuk mencetuskan satu kebangkitan baharu peradaban Islam pada era moden, khususnya melalui kekuatan intelektual dan kerjasama kedua-dua negara di Nusantara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata potensi itu boleh digerakkan menerusi kekuatan ilmu, kepakaran dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam membangunkan agenda peradaban.
“Kita melihat potensi Malaysia-Indonesia untuk mencetuskan renaisans, untuk mencetuskan satu kegemilangan ketamadunan Islam di abad moden ini dan ia berlaku di Nusantara, khususnya di Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri program Malindo Madani Siri Kedua di sini hari ini.
Malindo Madani Siri Kedua dianjurkan Centre for Dialogue and Cooperation among Civilisations (CDCC) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menghimpunkan lebih 120 ilmuwan, cendekiawan dan tokoh agama dari Malaysia dan Indonesia.
Zulkifli berkata kesinambungan penganjuran Malindo Madani selepas siri pertama di Kuala Lumpur membuktikan hubungan persahabatan dan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia dapat diterjemahkan melalui wacana ilmu serta agenda pembangunan peradaban.
“Gerak kerja dan persahabatan ini insya-Allah akan menatijahkan satu gerakan, satu gelombang baharu di Malaysia dan Indonesia untuk kita menggerakkan agenda-agenda peradaban dan ketamadunan,” katanya.
Beliau berkata sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai perbincangan, wacana dan dialog dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada isu strategik termasuk kemajmukan, hubungan Malaysia-Indonesia, masa depan kedua-dua negara serta peranan sains dan teknologi dalam pembentukan peradaban.
Zulkifli berkata kepelbagaian latar belakang peserta merupakan kekuatan utama platform itu kerana membolehkan pandangan dan kepakaran daripada pelbagai disiplin digabungkan dalam merangka agenda peradaban yang lebih menyeluruh.
“Ini sangat strategik kerana resolusi yang akan kita putuskan nanti boleh digerakkan menerusi agensi, institusi dan organisasi yang diwakili oleh para ilmuwan dan cendekiawan,” katanya.
Beliau berkata resolusi yang dihasilkan menerusi pertemuan itu akan turut dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melihat potensi serta ruang pelaksanaan yang boleh digerakkan pada peringkat nasional dan kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia.- BERNAMA
















