FAGERSTA, Sweden – Seorang lelaki berusia 18 tahun bersenjatakan pedang menyerang pelajar di sebuah sekolah menengah di Sweden pada 21 Ogos, mengakibatkan seorang maut dan tiga lagi cedera sebelum suspek ditembak serta ditahan polis.
Media melaporkan penyerang itu merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Kejadian berlaku pada petang 21 Ogos di Sekolah Menengah Brinell, di bandar Fagersta, Sweden tengah, yang mempunyai kira-kira 13,000 penduduk.
Sekolah berkenaan baru dibuka semula selepas cuti musim panas dan bagi sebahagian pelajar, ia merupakan hari pertama persekolahan.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 petang berhubung dakwaan kejadian keganasan maut dan menghantar semua anggota yang ada ke sekolah berkenaan,” kata jurucakap polis kepada Reuters.
Polis dalam sidang media mengesahkan suspek ialah lelaki berusia 18 tahun yang ditembak sebelum ditahan.
Penyiar awam SVT, memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan penyerang merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan yang membawa pedang dan memakai topi keledar.
SVT turut melaporkan lelaki itu pernah mempunyai rekod sabitan kesalahan menyerang.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan berkata, dua mangsa yang cedera merupakan remaja lelaki dan mengalami kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital.
Sweden sebelum ini pernah berdepan beberapa serangan berprofil tinggi di institusi pendidikan.
Pada Februari 2025, seorang lelaki berusia 35 tahun membunuh 10 orang di sebuah pusat pendidikan dewasa di Orebro, dalam kejadian tembakan beramai-ramai paling buruk di negara itu. Polis berkata, serangan tersebut didorong keinginan suspek untuk menamatkan hidupnya susulan masalah kewangan dan psikologi.
Pada Mac 2022, seorang pelajar berusia 18 tahun menikam sehingga mati dua orang guru di sebuah sekolah menengah di bandar Malmo, selatan Sweden.
Pada Oktober 2015 pula, tiga orang terbunuh dalam serangan bermotifkan perkauman di sebuah sekolah di bandar Trollhattan, barat Sweden, oleh seorang penyerang bersenjatakan pedang yang kemudiannya ditembak mati polis. – Agensi
















