Lelaki yang bertindak memukul dan melanggar mangsa ditahan polis untuk siasatan lanjut (gambar atas), mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

GEORGE TOWN – Seorang warga emas cedera dan dipercayai patah kaki kiri akibat dipukul berulang kali dengan besi dan dilanggar menggunakan motosikal oleh seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Perak di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa berusia 80-an itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan di pasar berkenaan.

Menurut menantu mangsa yang mahu dikenali sebagai Ong, lelaki berkenaan yang dipercayai penduduk di kawasan kejiranan sama, melanggar bapa mentuanya menggunakan motosikal sebelum turun dan memukulnya berulang kali dengan rotan.

“Bapa mentua saya cuba mempertahankan diri dengan mengangkat tangan bagi menghalang pukulan besi, menyebabkan tangan kirinya turut mengalami kecederaan.

“Kami tidak berani mengangkat atau menggerakkannya memandangkan dia meronta kesakitan, sebaliknya menunggu bantuan petugas kesihatan.

“Dia kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, lelaki itu dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan sering menunggang motosikal melepasi rumah mereka selain melemparkan kata-kata makian.

“Dia kemudian ditahan polis di lokasi kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa terbaring berhampiran motosikalnya serta motosikal dipercayai tunggangi suspek.

Sementara itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here