KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 805 karton rokok seludup bernilai lebih RM304,000 selepas menyerbu sebuah rumah sewa yang dijadikan stor simpanan di Kampung Sungai Rambai, Jenjarom, Selangor, dekat sini, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Amanjit Singh berkata, serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang bertindak sebagai penjaga premis.
Menurut beliau, modus operandi sindiket dilakukan dengan menyewa sebuah rumah pekerja dalam kawasan bengkel kenderaan untuk dijadikan stor penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,
“Suspek dipercayai bertindak mengatur tempahan yang perlu dihantar kepada pembeli yang telah disenaraikan oleh majikannya untuk dipasarkan di kedai-kedai runcit milik warga asing di sekitar kawasan Jenjarom, Selangor.
“Penghantaran dijalankan sekitar pukul 8 pagi hingga selesai. Sindiket itu menggunakan khidmat syarikat kurier luar sebagai penghantar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Langat.
“Berdasarkan rekod, sindiket ini telah aktif menjalankan kegiatan selama lebih kurang empat bulan manakala rangkaian sindiket sama pernah ditahan Batalion 4 PGA pada Mac lalu di Bukit Raja, Klang,” katanya.
Amanjit berkata, polis merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kegiatan pengedaran rokok berkenaan.
“Suspek bersama semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
“Kita minta masyarakat supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
















