KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) bersama PERKAM, NGO dan NGI memandang serius maklumat dari laman web Zoo Tennoji, Osaka, Jepun mengenai tiga ekor gajah Asia Malaysia Dara, Amoi dan Kelat (DAK) telah dipamerkan kepada pengunjung dari 7.30 pagi hingga 8 malam setiap Jumaat hingga Ahad bermula Ogos hingga Oktober 2026.
Persoalannya mereka, di manakah konsep konservasi dan kebajikan hidupan liar dalam pengaturan sedemikian?
“Jadual pameran yang begitu panjang dan berulang bukan sekadar menimbulkan persoalan tentang kesesuaian persekitaran malah wajar dinilai dari sudut kebajikan, tekanan, keperluan rehat dan tingkah laku semula jadi gajah.
“Kami menegaskan gajah bukan bahan pameran yang boleh dinilai berdasarkan jumlah pengunjung atau tempoh ia berada di hadapan orang ramai. Jika benar penghantaran DAK ke Jepun dibuat atas nama konservasi maka kebajikan dan kepentingan gajah mesti menjadikeutamaan bukan aktiviti pameran,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, pihaknya juga menuntut agar kata-kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam diterjemahkan kepada tindakan.
Dalam kenyataan media khas pada 29 April lalu, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan khazanah alam negara.
Menteri turut menyatakan bahawa sekiranya matlamat perjanjian tidak dipenuhi dan kebajikan DAK tidak terjamin, Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) patut membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air.
“Bagi kami, kenyataan itu bukan sekadar kenyataan politik atau retorik. Ia adalah pendirian yang jelas tentang kebajikan DAK,” katanya.
Justeru, Shelter Ihsan bersama PERKAM, NGO dan NGI menuntut agar kata-kata tersebut diterjemahkan kepada tindakan.
Dalam masa yang sama, kami kini menantikan keputusan dan perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang sama.
“Kami menggesa agar sekiranya hasil siasatan mendapati wujud sebarang kesalahan, kecuaian atau kelemahan dari sudut tatakelola, proses membuat keputusan atau pengurusan yang melibatkan penghantaran DAK, tindakan tegas dan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab, tertakluk kepada hasil siasatan dan proses undang-undang.
“Ini bukan soal mencari salah sesiapa. Ini soal amanah terhadap khazanah negara.
“DAK adalah milik Malaysia. Mereka bukan sekadar tiga ekor gajah di sebuah zoo luar negara. Mereka membawa nama dan warisan hidupan liar negara kita,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette
















