Dua individu dapat lanjutan reman bagi siasatan berhubung penjualan tanah milik agensi kerajaan pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran.

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh lanjutan tempoh reman terhadap dua individu bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah milik agensi kerajaan pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran, yang dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.

Kedua-dua individu berkenaan terdiri daripada seorang Pengerusi agensi kerajaan berusia lingkungan 50-an dan seorang Pengarah syarikat pemaju berusia lingkungan 40-an.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu dikeluarkan Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pengerusi agensi kerajaan itu diwakili peguam, Shamsher Singh Thind manakala pengarah itu pula diwakili, Ashok Atimulan.

Shamsher Singh Thind berkata, pegawai siasatan SPRM memohon lanjutan reman selama empat hari, namun mahkamah membenarkan tempoh tiga hari.

Menurutnya, SPRM memohon lanjutan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan, termasuk bagi mengelakkan anak guamnya mengganggu saksi lain memandangkan dia kini memegang jawatan pengerusi agensi tersebut.

“Jadi, anak guam saya boleh dibebaskan pada Rabu ini selepas tempoh reman tersebut tamat,” katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah di sini, hari ini.

Sementara itu, difahamkan tiga lagi individu yang sebelum ini direman bersama dua individu ini pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes sama telah dibebaskan secara berperingkat dengan jaminan.

ARTIKEL BERKAITAN

Kes jual tanah 2015: 5 termasuk pengerusi agensi kerajaan direman 4 hari

Pada Jumaat lalu, SPRM menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian di Pulau Pinang.

Kesemua mereka yang berusia antara 40-an hingga 50-an terdiri daripada pengerusi berkenaan, adik lelakinya, adik iparnya yang juga isteri kepada lelaki terbabit serta dua pengarah syarikat.

Pengerusi agensi kerajaan berkenaan dipercayai disiasat kerana menyalahgunakan kedudukannya ketika menjadi Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah bagi meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015.

Tanah berkenaan dipercayai dijual kepada sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan sekutunya pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran, menyebabkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here