Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kendalian haiwan berbisa dalam Program Latihan Kesedaran Orang Awam Pengendalian Haiwan Berbisa di Dewan Taman Temerloh Jaya kelmarin mengikut prosedur tetap operasi (PTO) dan tatacara keselamatan yang ditetapkan.

Penegasan itu susulan insiden kemalangan yang mengorbankan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Allahyarham Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, selepas selesai menyertai program berkenaan.

Menurut APM, Allahyarham merupakan anggota terlatih dan berkemahiran dalam bidang berkaitan serta berpengalaman mengendalikan haiwan berbisa.

Beliau juga telah aktif berkhidmat bersama APM sejak 2010.

“Semua anggota APM diwajibkan menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan menyertai operasi.

“Anggota yang terlibat juga telah menjalankan tugasan berdasarkan prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan APM, hari ini.

Bagaimanapun, APM memandang serius insiden berkenaan dan sentiasa terbuka untuk menilai serta menambah baik aspek keselamatan, pengurusan risiko dan pelaksanaan aktiviti berkaitan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan APM bagi memastikan keselamatan serta kebajikan anggotanya sentiasa menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, APM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar kepada APM dan negara,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah yang juga anggota APM Daerah Temerloh dilaporkan dipatuk ular ketika mengendalikan reptilia berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi Sabtu di HoSHAS selepas lebih 14 jam bertarung nyawa.

Jenazah disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here