Lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah kereta yang membrek secara mengejut di Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah kereta yang membrek secara mengejut di Kilometer 53.3, Lebuh Raya Senai-Desaru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 4.50 petang melibatkan motosikal dan sebuah kereta.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang wanita tempatan berumur 33 tahun masuk simpang kanan dan brek mengejut.

“Kemudian motosikal jenis Aveta Vanguard 250 ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa mendapat kecederaan parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.

Tambah beliau, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here