Foto FB KL City FC.

KUALA LUMPUR – KL City FC berisiko ‘berehat’ lebih panjang pada musim ini selepas dua lagi perlawanan mereka berdepan menentang Kuching City FC dan DPMM FC pada minggu ini berkemungkinan turut ditangguhkan berikutan kekurangan pemain.

Ia susulan aksi pertama KL City FC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu yang terpaksa ditunda selepas sebahagian besar pemain pasukan itu dijangkiti influenza.

Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar berkata, ketika ini lima pemain termasuk seorang pegawai pasukan disahkan positif influenza, manakala pemain lain turut mengalami simptom penyakit berkenaan.

Pemain yang disahkan positif perlu menjalani kuarantin dan berehat sekurang kurangnya seminggu berdasarkan laporan perubatan yang diterima daripada hospital kerajaan.

“Saya sudah mendapat laporan perubatan daripada hospital kerajaan yang memaklumkan pemain terbabit perlu dikuarantinkan dan berehat selepas disahkan positif influenza.

“Surat mengesahkan mereka positif sudah saya terima dan hal ini bermakna kemungkinan besar dua perlawanan akan datang terpaksa ditunda kerana kekurangan pemain,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Sebagai rekod, KL City FC dijadual menentang Kuching City pada Rabu ini sebelum melayani kunjungan DPMM FC tiga hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Syed Yazid berkata, pihaknya mempunyai bukti perubatan berkaitan keadaan pemain dan akan terus memantau perkembangan kesihatan skuad sebelum membuat keputusan mengenai dua perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai status perlawanan menentang Kuching City dan DPMM masih perlu menunggu perkembangan lanjut serta pengesahan daripada pihak berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here