Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaminkan bacaan doa semasa Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

 

KUALA LUMPUR – Kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku pengeluaran wang secara besar-besaran oleh pendeposit menjadi antara pertimbangan utama Tan Sri Madinah Mohamad ketika membuat keputusan berkaitan sijil audit Lembaga Tabung Haji.

Bekas Ketua Audit Negara itu berkata, kebimbangan tersebut perlu dilihat dalam konteks kedudukan Tabung Haji ketika kerajaan baharu yang berusia dua hingga tiga bulan mengambil alih pentadbiran pada 2018.

Menurutnya, jumlah wang pendeposit ketika itu dianggarkan sekitar RM70 bilion, sedangkan kecairan Tabung Haji hanya kira-kira RM11.6 bilion.

“Kalau berlaku pengeluaran besar-besaran, bagaimana kerajaan hendak menyediakan RM70 bilion dalam masa yang singkat?” katanya ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.

Madinah berkata, keadaan itu boleh menyebabkan Tabung Haji terpaksa mencairkan sebahagian pelaburannya bagi memenuhi permintaan pengeluaran terutama jika ia berlaku secara serentak.

Keadaan berkenaan, jelas beliau, bukan sahaja memberi tekanan kepada Tabung Haji, malah berpotensi memberi kesan kepada institusi kewangan dan kerajaan kerana simpanan di institusi itu dijamin oleh kerajaan.

Beliau berkata, atas sebab itu, keputusan audit tidak boleh dilihat hanya daripada sudut nilai kewangan, sebaliknya perlu mengambil kira kesan sosial, kepentingan strategik institusi serta keyakinan orang ramai.

Madinah berkata, atas sebab itu, pasukan audit pada awalnya mencadangkan sijil teguran selepas mengenal pasti isu berkaitan kemerosotan nilai aset.

Namun, selepas mempertimbangkan risiko yang mungkin timbul, beliau memilih sijil audit tanpa teguran dengan Emphasis of Matter (penekanan perkara; EOM) bagi mengetengahkan perkara penting tanpa mencetuskan kebimbangan berlebihan terhadap Tabung Haji.

Menurutnya, EOM tetap membolehkan perkara yang memerlukan perhatian dinyatakan secara jelas dalam laporan audit untuk pengetahuan Parlimen dan rakyat.

“Dalam sektor awam, kita bukan hanya melihat kepada nilai kewangan, tetapi turut mengambil kira impak sosial, kesan terhadap dasar negara, tanggungjawab strategik entiti serta kepercayaan orang ramai terhadap institusi berkenaan,” jelas beliau. 

Madinah menegaskan prinsip mengutamakan kepentingan negara menjadi antara pegangan utama beliau sepanjang menjalankan amanah sebagai Ketua Audit Negara. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here