Dalam insiden 26 Julai lalu, kenderaan yang dipandu oleh anak mangsa hangus terbakar selepas kemalangan di Kilometer 24, Jalan Ibam-Rompin

KUANTAN – Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas hampir sebulan menerima rawatan susulan kemalangan jalan raya di Kilometer 24, Jalan Ibam-Rompin, berhampiran Ladang MARDI Muadzam Shah,pada 26 Julai lalu.

Mangsa, Azizah Ali, 65, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.10 petang hari ini ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi memaklumkan pihaknya menerima makluman daripada HTAA kira-kira jam 4.30 petang berhubung kematian mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang pada 26 Julai lalu, mangsa merupakan penumpang belakang kiri sebuah Toyota Vios yang dinaiki bersama suami, dua anak lelaki dan seorang lagi ahli keluarga.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu anak mangsa, Hazim Mustaqim Sallehudin, 27, dari arah Rompin menghala ke Muadzam Shah.

Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti dari arah bertentangan sebelum hilang kawalan, terbabas ke kanan jalan dan masuk ke dalam parit.

Kesemua empat mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum kenderaan itu terbakar keseluruhannya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan kecemasan sebelum Azizah dirujuk ke HTAA bagi rawatan lanjut.

Tiga lagi mangsa iaitu Hazim, bapanya, Sallehudin Abu Talib, 68, dan adiknya, Sadiq Najwan, 26, dilaporkan mengalami kecederaan masing-masing pada tangan serta dahi selepas insiden.

Menurut polis, kematian Azizah disebabkan kecederaan parah pada badan di mana keadaannya menjadi semakin kritikal kerana mendapat jangkitan kuman di paru-paru serta jangkitan kulat dan bakteria dalam darah semasa dirawat di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here