Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Perbezaan angka keuntungan RM3.4 bilion dan kerugian RM1.4 bilion bagi Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2017 perlu dilihat berdasarkan kaedah perakaunan serta konsep ‘prudence’, bukannya sekadar mempertikaikan angka Jabatan Audit Negara (JAN) atau laporan firma PricewaterhouseCoopers (PwC).

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad sebelum ini mempertahankan laporan JAN yang merekodkan TH mencatat keuntungan bersih RM3.4 bilion pada 2017.

Namun, katanya, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH pula menyatakan semakan PwC mendapati institusi itu mengalami kerugian sekitar RM1.4 bilion.

“Angka RM3.4 bilion memang wujud dalam penyata kewangan TH 2017. Tetapi persoalan sebenar bukan sekadar siapa yang mempunyai angka yang betul.

“Kita perlu memahami konsep ‘prudence’ dalam perakaunan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurut beliau, prudence bermaksud apabila terdapat ketidakpastian, penilaian perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan aset dan keuntungan tidak terlebih nyata, manakala kerugian serta liabiliti tidak terkurang nyata.

Katanya, konsep berkenaan menjadi antara elemen penting dalam semakan PwC terhadap kedudukan kewangan TH.

“PwC mengenal pasti beberapa pelaburan TH yang mengalami kemerosotan nilai tetapi tidak direkodkan sepenuhnya sebagai rosot nilai (impairment).

“Antaranya pelaburan dalam syarikat bersekutu, anak syarikat, instrumen pendapatan tetap dan pelaburan hartanah,” jelasnya.

Beliau berkata, secara mudah, sekiranya sesuatu aset dibeli pada harga RM100 juta tetapi terdapat bukti nilainya telah jatuh dengan ketara, nilai aset berkenaan tidak boleh terus dianggap RM100 juta hanya kerana ia belum dijual.

Menurutnya, prinsip prudence memerlukan realiti ekonomi diambil kira apabila syarat perakaunan bagi rosot nilai telah dipenuhi.

“Ini amat penting kerana kesannya besar.

“RCI akhirnya mendapati bahawa jika Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya pada 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian sekitar RM1.4 bilion, bukannya keuntungan RM3.4 bilion,” katanya.

Justeru Sheikh Umar berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai JAN mengatakan TH untung manakala, PwC mengatakan rugi.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, RM3.4 bilion merupakan keuntungan berdasarkan penyata kewangan yang direkodkan pada ketika itu, manakala RM1.4 bilion adalah dapatan RCI mengenai kedudukan yang sepatutnya direkodkan sekiranya MFRS diterapkan sepenuhnya, termasuk pengiktirafan rosot nilai yang wajar.

“Jadi, apabila membincangkan isu ini secara profesional, kita tidak wajar menolak angka RM1.4 bilion hanya dengan mengatakan ‘itu laporan PwC’.

“Lagipun bukan PwC sahaja yang berkata demikian. RCI sendiri telah sampai kepada kesimpulan yang sama,” katanya.

Beliau menegaskan, konsep prudence penting bagi memastikan keuntungan yang direkodkan tidak kelihatan lebih besar daripada keadaan ekonomi sebenar sesebuah institusi.

“Perakaunan yang berhati-hati bukanlah berniat menjadikan sesebuah institusi kelihatan rugi, tetapi untuk memastikan keuntungan tidak kelihatan lebih besar daripada hakikat keadaan ekonomi yang sebenar,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here