KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, jam 9 pagi esok.
Prosiding berkenaan akan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin.
Ketika dihubungi MalaysiaGazette, peguam yang mewakili Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshad mengesahkan perkara itu.

Ismail Sabri sebelum ini sepatutnya didakwa pada 7 Ogos lalu, namun prosiding itu ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan.
Pada hari berkenaan, beliau hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses pendakwaan, namun mengalami masalah kesihatan dan dikejarkan ke IJN.
Peguamnya ketika itu memaklumkan anak guamnya mengalami masalah degupan jantung tidak sekata dan memerlukan pemeriksaan lanjut.
Berikutan keadaan kesihatan itu, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan atas faktor kemanusiaan.
Hakim Suzana kemudian menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh baharu bagi prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan.
Pada ketika itu, pertuduhan telah didaftarkan tetapi belum dibacakan terhadap Ismail Sabri dan tiada pengakuan direkodkan.
Ismail Sabri juga dilaporkan menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) di IJN pada hari sama dan kemudiannya dibenarkan berehat bagi menjalani proses pemulihan.
Beliau sebelum ini beberapa kali dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan pengisytiharan harta.
Siasatan itu antara lain dikaitkan dengan dakwaan salah guna dana bagi aktiviti promosi dan publisiti ketika beliau menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.
SPRM sebelum ini turut menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas dalam siasatan berkenaan.
Butiran pertuduhan terhadap Ismail Sabri akan diketahui selepas ia dibacakan di mahkamah esok.
Prosiding itu juga dijangka menjadi penampilan pertama Ahli Parlimen Bera di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan selepas sebelum ini proses pendakwaan ditangguhkan atas faktor kesihatan. – MalaysiaGazette
















