KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau menggunakan wang peribadi sebanyak RM4 juta manakala RM800,000 lagi wang syarikat untuk disalurkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lima tahun lalu.
Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd., Datuk Seri Azman Yusoff, 54, berkata, sumbangan RM4.8 juta itu diberikan menerusi beberapa transaksi untuk memperoleh sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan projek Janawibawa.
Menurut saksi pendakwaan ke-27, pada 30 Julai 2021, syarikatnya mendapat Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalur ke Gemas, Negeri Sembilan dengan harga yang telah dimuktamadkan berjumlah RM62 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 34 Bulan.
“Sumbangan itu diberikan kerana saya ingat Tan Sri Muhyiddin pernah memaklumkan secara spontan bahawa jika ingin membuat sumbangan, perlu disalurkan terus kepada Bersatu, bukan kepada individu dalam parti.
“Saya menganggap pemakluman itu adalah satu ayat yang membawa maksud bahawa Tan Sri Muhyiddin mengharapkan akan ada sumbangan daripada syarikat yang mendapat projek di bawah Janawibawa,” ujarnya.
Azman yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata, selepas syarikatnya mendapat SST, beliau bertemu Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Baijuri dan memaklumkan syarikatnya berhasrat menyumbang dana kepada parti kira-kira lima peratus daripada nilai projek.
“Bayaran berjumlah RM4 juta dan RM800,000 dibuat menerusi cek dan diserahkan sendiri kepada Salleh. Ia mengikut kiraan dan kemampuan syarikat saya untuk membuat sumbangan lebih kurang tujuh peratus hingga lapan peratus nilai projek.
“Hal ini kerana berdasarkan pengalaman saya, keuntungan dalam projek pembinaan jalan kerajaan boleh mencapai keuntungan lebih kurang 15 hingga 20 peratus,” ujarnya dalam pernyataan saksi pada perbicaraan kes terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.
Ujar Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu, sekiranya KCJ Engineering tidak disokong oleh Muhyiddin dan permohonan tidak diproses oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), sudah tentu syarikatnya tidak berjaya melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, apabila syarikatnya disokong oleh Muhyiddin untuk diberikan secara rundingan terus, ia menjadi satu kelebihan kepadanya kerana beliau tidak perlu bersaing dengan petender-petender lain.
Mengimbau perkenalan dengan Muhyiddin, saksi berkata, beliau mengenalinya sekitar 2016 sewaktu Perhimpunan Agung UMNO ketika berjawatan timbalan perdana menteri.
Pada Julai 2020, beliau bertemu Muhyiddin sewaktu menyertai Kejohanan Golf Tan Sri Muhyiddin Charity Golf di Tropicana Golf Club Damansara untuk meninjau peluang perolehan projek kerajaan yang boleh dimohon oleh ahli-ahli PKBM.
Dakwanya, Muhyiddin selanjutnya meminta beliau mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Program Janawibawa daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan bertemu pegawai yang berkaitan.
“Pada pertemuan itu, Tan Sri Muhyiddin juga ada menyatakan secara spontan kepada saya, jika terdapat Ahli PKBM ataupun kontraktor yang ingin membuat sumbangan, boleh sumbangkan terus kepada Bersatu dan bukannya kepada mana-mana individu di dalam parti,” ujarnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















