PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan penganjur serta pemilik tapak bagi memastikan liputan telekomunikasi mencukupi menjelang penganjuran acara berskala besar di Sepang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengguna tidak berdepan masalah capaian atau kesesakan rangkaian apabila jumlah pengunjung meningkat.
Beliau berkata, penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh memasang kelengkapan tambahan di lokasi berkenaan bagi meningkatkan kapasiti rangkaian.
“Sebagai antara langkah yang biasa diambil untuk persiapan acara-acara berskala besar, pihak MCMC akan bekerjasama dengan penganjur dan pemilik tapak.
“Ia untuk memastikan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh memasang kelengkapan peralatan untuk meningkatkan capaian.
“Langkah itu untuk mengurangkan kesesakan ataupun congestion bagi pengguna yang ramai,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas persediaan negara menjelang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Fahmi juga berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang berjalan, namun beliau masih belum menerima maklumat sama ada perancangan teknikal di tapak telah dimuktamadkan.
“Dengan tempoh kira-kira enam minggu sebelum acara berkenaan, saya sendiri akan melakukan lawatan ke tapak bersama MCMC dan syarikat telekomunikasi bagi melihat sendiri persiapan itu.
“Pendekatan sama pernah digunakan kerajaan dalam persediaan menghadapi acara berskala besar dan penting kepada negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















