Ratusan masih hilang dalam kejadian banjir besar di Nepal. - Foto: AFP

KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 95 orang terkorban manakala 484 lagi masih hilang susulan banjir kilat di utara Nepal pada Rabu, menurut Pejabat Perdana Menteri, lapor Xinhua.

Pejabat itu dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 484 individu yang hilang terdiri daripada 391 pelancong asing dan 93 warga Nepal. Menurut rekod Lembaga Pelancongan Nepal, warga asing yang hilang termasuk 134 warga India, 47 warga Amerika Syarikat (AS), 33 warga Britain dan 34 warga Australia.

Terdahulu, jurucakap Polis Wilayah Bagmati Rajendra Prasad Dhamala berkata pasukan keselamatan telah menyelamatkan 88 individu dari kawasan terjejas.

Perdana Menteri Nepal Balendra Shah telah memanggil mesyuarat tergempar Kabinet bagi membincangkan langkah mencari dan menyelamat serta penyaluran bantuan kepada mangsa.

Tentera Nepal dengan sokongan pasukan keselamatan lain mempergiat operasi mencari dan menyelamat di daerah terjejas.

Kerosakan paling teruk dilaporkan di Rasuwa apabila banjir menghanyutkan beberapa rumah serta merosakkan kawasan pasar, projek hidrokuasa, jalan raya dan infrastruktur lain.

“Beberapa orang dilaporkan hilang. Usaha menyelamat sedang dijalankan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Daerah Rasuwa Druba Prasad Adhikari sebelum ini.

Sementara itu, pihak berkuasa di negeri Bihar, timur India meningkatkan tahap kesiapsiagaan pada Rabu selepas banjir kilat menyebabkan kemusnahan di Nepal, menurut pegawai.

Langkah itu diambil berikutan kemungkinan berlaku peningkatan mendadak paras air Sungai Gandak.

Amaran dikeluarkan di enam daerah di negeri itu — Champaran Barat, Champaran Timur, Gopalganj, Saran, Muzaffarpur dan Vaishali — manakala tahap kesiapsiagaan dipertingkat di kawasan rendah di sepanjang sistem Sungai Gandak. – BERNAMA-XINHUA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here