SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas dicekup sedang berkhalwat dengan isteri orang dalam operasi cegah maksiat di sebuah rumah kampung di daerah ini semalam.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dilakukan selepas mendapat aduan awam sebelum penguat kuasa tiba pukul 11.40 pagi.
“Semasa penguat kuasa tiba mendapati terdapat dua kenderaan di rumah berkenaan yang dipercayai masing-masing milik lelaki dan wanita terbabit.
“Pemeriksaan mendapati pintu rumah berkunci dari dalam sebelum penguat kuasa mengetuk dan memberi salam beberapa kali.
“Selepas kira-kira lima minit, pintu dibuka seorang lelaki berusia lewat 60-an yang memakai seluar panjang kelabu dan baju panas putih.
“Lelaki berstatus duda itu pada awalnya mendakwa dia berada seorang diri di rumah berkenaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di ruang tamu dan dapur tidak menemui sesiapa sebelum penguat kuasa memeriksa empat bilik di rumah tersebut,” menurut kenyataan berkenaan.
Pemeriksaan di sebuah bilik utama yang tidak berkunci membawa kepada penemuan seorang wanita berusia 40-an yang memakai seluar panjang hitam dan baju-T merah.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pakaian lelaki tersusun dalam almari manakala keadaan katil didapati tidak kemas dengan cadar beralun serta dua bantal berada di atas katil.
Pasangan terbabit kemudian mengaku bukan suami isteri dan memberi alasan hanya berada bersama untuk berehat.
“Kami terangkan kepada mereka bahawa wanita itu masih berstatus isteri orang dan lelaki terbabit bukan mahramnya. Justeru, alasan datang untuk berehat tidak mengubah keadaan kerana mereka berada berdua-duaan di dalam rumah,” katanya.
JAINJ memberitahu, wanita terbabit dipercayai datang dari daerah lain yang jaraknya lebih 100 kilometer dan dikatakan tiba di rumah berkenaan sekitar pukul 9 pagi.
Ketika disoal, wanita itu mendakwa datang untuk menumpang berehat dan menafikan melakukan perbuatan tidak bermoral.
Menurut penguat kuasa, pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadaan sebenar di rumah berkenaan selepas lelaki terbabit pada awalnya mendakwa berada seorang diri.
“Pada awalnya lelaki itu memberitahu dia seorang sahaja di rumah. Namun, selepas pemeriksaan dibuat, wanita terbabit ditemui berada dalam bilik utama,” katanya.
Siasatan JAINJ turut mendapati wanita terbabit mempunyai masalah rumah tangga dan sedang dalam proses permohonan perceraian, dengan mendakwa masalah berpunca daripada ketidakserasian serta pengabaian nafkah.
Pihak JAINJ turut menasihatkan wanita berkenaan supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam proses perceraian yang sedang berjalan.
“Walaupun sedang menghadapi masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian, itu bukan alasan untuk melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan syak atau melanggar undang-undang syariah,” katanya.
Lelaki berkenaan pula yang sudah beberapa tahun berstatus duda mendakwa mempunyai hasrat untuk memperisterikan wanita tersebut, namun masih menunggu proses perceraian wanita itu selesai.
Pasangan itu ditangkap khalwat seksyen 27 kerana berdua-duaan dalam bilik atau tempat tertutup dan akan didakwa di mahkamah syariah. – MalaysiaGazette
















