KUALA LUMPUR – Serangan panik bukan hanya membabitkan golongan dewasa, malah boleh menjejaskan kanak-kanak dan remaja yang berdepan tekanan sosial, akademik serta masalah keluarga.
Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat merangkap Pengerusi Biro Kesihatan MIC Kebangsaan, Dr T Novalan berkata, serangan panik perlu diberikan perhatian serius kerana ia boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun seseorang tidak berdepan sebarang ancaman atau bahaya sebenar.
Katanya kepada MalaysiaGazette hari ini, dalam keadaan itu, tubuh dan minda seseorang boleh bertindak seolah-olah sedang berhadapan dengan ancaman serius.
“Antara gejala yang boleh dialami termasuk degupan jantung yang pantas, sesak nafas, rasa ketat atau sakit di dada, berpeluh, menggigil, pening, loya serta rasa kebas.
“Bagi sesetengah individu, keadaan itu boleh menjadi begitu menakutkan sehingga mereka merasakan seolah-olah sedang mengalami serangan jantung, hilang kawalan atau nyawa mereka terancam,” katanya.

Novalan berkata, tekanan di tempat kerja, masalah kewangan, konflik keluarga dan hubungan, kurang tidur, pengalaman traumatik serta pengambilan kafein secara berlebihan antara faktor yang boleh mencetuskan serangan panik.
Bagaimanapun, beliau berkata, serangan panik juga boleh berlaku tanpa sebarang punca atau pencetus yang jelas.
Menurut Novalan, perhatian khusus perlu diberikan kepada kanak-kanak dan remaja kerana mereka mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk memahami atau menjelaskan dengan tepat emosi serta keresahan yang dialami.
“Kanak-kanak yang secara tiba-tiba enggan ke sekolah, kerap mengadu sakit kepala atau sakit perut, mengalami gangguan tidur, menjadi terlalu takut atau tidak mahu berpisah dengan ibu bapa mungkin sebenarnya sedang berdepan tekanan emosi.
“Tekanan pembelajaran dan peperiksaan, buli, masalah keluarga serta pengalaman yang menakutkan atau traumatik boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental seorang kanak-kanak,” katanya.
Sehubungan itu, Novalan menggesa ibu bapa dan guru supaya tidak terburu-buru melabel kanak-kanak yang menunjukkan perubahan tingkah laku sebagai degil, lemah atau sekadar mahu mendapatkan perhatian.
“Kadangkala perubahan tingkah laku adalah cara seorang kanak-kanak meminta pertolongan tanpa mampu meluahkannya dengan kata-kata.
“Kita perlu mendengar sebelum menghukum dan bertindak sebelum terlambat. Jangan biarkan seorang pun anak kita menderita atau menangis dalam diam,” katanya.
Mengenai tindakan ketika serangan panik berlaku, Novalan berkata, individu terbabit perlu dibawa ke tempat yang tenang dan selamat, diberikan sokongan serta dibantu untuk bernafas secara perlahan dan teratur.
Katanya, individu yang mengalami serangan panik secara berulang perlu mendapatkan penilaian daripada doktor atau profesional kesihatan mental.
“Kaunseling dan Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) boleh membantu dalam pengurusan keadaan ini, manakala rawatan ubat boleh dipertimbangkan oleh doktor sekiranya diperlukan berdasarkan keadaan klinikal seseorang,” katanya.
Dalam pada itu, Novalan mengingatkan supaya sakit dada yang teruk, pengsan atau kesukaran bernafas yang serius, terutama jika berlaku buat kali pertama, tidak terus dianggap sebagai serangan panik.
“Pemeriksaan perubatan amat penting bagi memastikan ia bukan disebabkan oleh masalah kesihatan lain yang mungkin lebih serius,” ujarnya.
Beliau turut menyeru supaya kerjasama antara kerajaan, sektor kesihatan, sekolah, ibu bapa, pertubuhan masyarakat dan pemimpin diperkukuh bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, pengesanan awal serta akses kepada bantuan dan rawatan yang sewajarnya.
“Kita tidak boleh hanya bercakap mengenai pembinaan sebuah negara yang maju berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan infrastruktur, sedangkan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi rakyat kita terabai.
“Negara yang benar-benar kuat bukan sahaja menjaga kesihatan fizikal rakyatnya, tetapi turut melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan emosi mereka.
“Serangan panik bukan tanda kelemahan. Jangan menderita dalam diam. Bersuara, dapatkan bantuan dan hulurkan sokongan kepada mereka yang sedang berjuang.
“Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan. Setiap luahan dan tangisan meminta pertolongan mesti didengar sebelum terlambat,” katanya.
Selain itu, Novalan merupakan Naib Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Kuala Muda. – MalaysiaGazette
















