Bencana banjir di Nepal. - Foto AFP

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta segera menggerakkan misi mencari dan menyelamat bagi mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, situasi berkenaan tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan kedutaan atau diplomatik semata-mata, sebaliknya membabitkan keselamatan dan nyawa rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan perlu bertindak dengan segera bagi mencari, menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia yang dipercayai berada di kawasan terjejas.

“Kerajaan perlu segera bergerak daripada sekadar menyelaras dan mengumpul maklumat kepada mengerahkan semua keupayaan menyelamat yang ada, dengan kerjasama penuh pihak berkuasa Nepal dan China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rayer berkata, bencana yang melanda kawasan Rasuwa di Nepal itu telah memusnahkan jalan raya dan infrastruktur, selain mengganggu sistem komunikasi serta menyukarkan akses ke kawasan terjejas.

Menurutnya, ratusan mangsa termasuk warga asing masih dilaporkan hilang, manakala keluarga di Malaysia kini berdepan kebimbangan kerana tidak mengetahui keadaan orang tersayang.

Sehubungan itu, Rayer menggesa kerajaan menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan Malaysia yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pasukan perubatan dan agensi berkaitan.

Beliau turut mencadangkan supaya sebuah pusat arahan dan penyelarasan kecemasan Malaysia ditubuhkan di lokasi kejadian dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan pihak berkuasa Nepal.

“Kerajaan juga perlu mendapatkan kerjasama serta akses segera daripada Nepal dan China bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan di kawasan sempadan Nepal-Tibet yang terjejas.

”Khususnya lokasi yang mungkin menjadi tempat rakyat Malaysia terkandas atau terputus hubungan,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

Rayer berkata, sebuah pusat perhubungan dan maklumat keluarga beroperasi 24 jam juga perlu diwujudkan di Malaysia supaya keluarga mangsa menerima perkembangan terkini yang sahih secara berkala.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan menggunakan komunikasi satelit, pesawat, dron serta teknologi mencari dan menyelamat lain yang tersedia bagi mengenal pasti lokasi rakyat Malaysia yang mungkin terkandas.

“Kerajaan juga perlu membuat persiapan segera untuk pemindahan perubatan dan penghantaran pulang rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan, termasuk mereka yang cedera atau mengalami trauma,” katanya.

Rayer berkata, ATM sentiasa bersedia dan mempunyai kepakaran serta keupayaan untuk menyumbang kepada misi kemanusiaan sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengerahkan mereka ke kawasan bencana.

“Dalam bencana sebesar ini, setiap jam amat penting. Komunikasi mungkin terputus, jalan raya mungkin musnah dan keadaan cuaca boleh bertambah buruk. Kelewatan boleh menjadi penentu antara hidup dan mati,” katanya.

Rayer berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi nyawa rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.

“Bawa pulang rakyat Malaysia kita,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here