SHAH ALAM – Insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu hingga menyebabkan seorang lelaki maut di Taman Alam Megah, di sini dua hari lepas disyaki berpunca daripada permusuhan serta perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kumpulan berkenaan aktif di sekitar bandar raya ini dan dipercayai terlibat dalam beberapa aktiviti perniagaan di kawasan terbabit.
“Hasil siasatan awal mempercayai satu daripada kumpulan itu baru ditubuhkan. Setakat ini polis telah menahan 11 individu berumur lingkungan 20 hingga 30-an membabitkan ahli daripada kedua-dua kumpulan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata lima daripada mereka telah direman tujuh hari manakala baki enam lagi dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.
Shazeli berkata pihaknya sedang meneliti aspek aktiviti perniagaan serta latar belakang kumpulan berkenaan yang menjadi punca utama perbalahan tersebut termasuk memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas selepas butiran diri mereka berjaya dikenal pasti menerusi siasatan awal.
Beliau berkata insiden pergaduhan berkenaan turut mengakibatkan beberapa individu lain cedera, termasuk tiga mangsa yang kini masih dirawat di hospital.
“Rakaman percakapan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian dan pihak berkaitan telah diambil bagi membantu melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman satu video berdurasi satu minit bertarikh 23 Ogos lepas memaparkan sekumpulan individu bergaduh atas jalan raya hingga ada antaranya dilanggar sebuah kenderaan.
Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata polis menerima petunjuk positif dalam siasatan kes cubaan rompak di sebuah kedai emas di Klang, 20 Ogos lepas.
Beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang kerugian barang kemas atau kecederaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan identiti kesemua suspek. Hasil maklumat serta bantuan orang ramai, kita berjaya memperoleh beberapa petunjuk positif.
“Suspek dipercayai warga tempatan yang telah merancang jenayah berkenaan dengan menantikan peluang serta masa yang sesuai untuk bertindak,” katanya sambil menambah siasatan lanjut dijalankan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta bukti fizikal lain. – BERNAMA
















