KUALA LUMPUR – Semangat cintakan negara perlu dipupuk bermula dari kawasan sendiri sebelum diperluaskan kepada negeri dan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka itu berkata, usaha membina identiti serta rasa memiliki terhadap kawasan Duyong penting dalam membentuk masyarakat yang mempunyai semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap tempat mereka membesar.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan konsep “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” yang menekankan kepentingan menghargai tempat seseorang berada dan menjadi sebahagian daripada komuniti.
“Bagaimana kita nak mula menanam semangat cinta kepada negara? Kita tanamkan dulu rasa cinta kepada tempat kita berada.
“Bermula dengan Duyong, kita bina semangat dan rasa memiliki terhadap kawasan ini. Apabila rasa cinta itu sudah ada, ia boleh berkembang kepada kecintaan terhadap Melaka dan akhirnya negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program sesi ‘Meet & Greet’ bersama Persatuan Anak Melaka dan Anak Merdeka termasuk Sambutan & Sesi Potong Kek Anak Merdeka, Melaka Showcase 2026 di Medan MARA, di sini hari ini.
Tambah beliau, pendekatan membina semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda juga perlu disesuaikan dengan cara mereka berfikir dan berkomunikasi pada masa kini.
Katanya, elemen sejarah dan kenegaraan perlu disampaikan dalam bentuk yang lebih dekat dengan golongan muda, termasuk melalui aktiviti komuniti, hiburan dan media sosial.
“Pengisian untuk menzahirkan bahawa kita sedang meraikan kemerdekaan tetap penting, tetapi bagaimana kita mahu menyampaikan ilmu dan sejarah supaya ia difahami oleh anak muda juga perlu difikirkan.
“Semangat cintakan negara perlu bermula daripada tempat kita berpijak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Helmy berkata, Kerajaan Negeri Melaka terbuka membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan komuniti yang mengemukakan cadangan bagi melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, sokongan itu turut diberikan kepada kelompok masyarakat yang tidak berdaftar secara rasmi sebagai NGO tetapi mempunyai minat atau kepentingan bersama.
“Kita mengalu-alukan apa sahaja cadangan, apa sahaja permintaan untuk kita usahakan bersama kerana objektif kita adalah keluarga sendiri,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan meneliti setiap cadangan dan mencari kaedah bersesuaian termasuk menggabungkan program berskala kecil dengan program lain supaya mempunyai kekuatan serta impak lebih besar.
“Kalau dia datang dengan proposal yang kita kira programnya agak kecil, kita satukan dengan program-program yang lain supaya program itu ada kekuatan.
“Kalau dia rasa boleh berdiri sendiri, kita akan sokong dengan persediaan lain untuk memastikan kejayaan program itu dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















