KUALA LUMPUR – Kira-kira 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan rangkaian lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan bermula hujung minggu ini.
PLUS berkata, peningkatan jumlah kenderaan dijangka berlaku pada 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 7 September susulan pergerakan orang ramai yang mengambil kesempatan cuti umum dan persekolahan.
“Pengguna lebuh raya digalakkan merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual digital MyPLUS-TTA (Travel Time Advisory) menerusi Aplikasi PLUS.
“Jadual perjalanan ini disusun berdasarkan jangkaan pola trafik pada musim perayaan atau waktu puncak terdahulu bagi membantu mengagihkan trafik dan mengurangkan tumpuan kenderaan di satu-satu lokasi pada waktu puncak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagi menghadapi lonjakan trafik itu, PLUS berkata, pihaknya meningkatkan persediaan dengan menambah petugas di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R), selain mempertingkat rondaan PLUSRonda serta pemantauan trafik menerusi Pusat Pemantauan Trafik.
“Sebanyak 33 lokasi terpilih juga akan mengaktifkan Smart Lane bagi membantu melancarkan aliran trafik di kawasan yang dikenal pasti berpotensi mengalami kesesakan.
“Pengguna dinasihatkan supaya peka dengan papan tanda Smart Lane dan mengurangkan kelajuan ketika menggunakan laluan berkenaan, selain tidak menggunakan lorong kecemasan di luar lokasi pengaktifan Smart Lane,” katanya.
Tambahnya, PLUS turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan bagi memastikan sebarang insiden di lebuh raya dapat ditangani dengan segera.
Selain itu, penyelenggaraan kemudahan awam di R&R dan hentian sebelah akan dipertingkatkan dengan memberi keutamaan kepada aspek kebersihan dan keselesaan pengguna.
“Pengguna juga dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta memastikan baki kad Touch ’n Go atau eWallet bagi pengguna RFID mencukupi,” katanya.
PLUS turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi had laju, mengekalkan jarak pemanduan selamat, mengamalkan pemanduan berhemah dan mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.
“Bagi perjalanan jarak jauh, pengguna digalakkan berehat di R&R atau hentian sebelah sekiranya berasa letih sebelum meneruskan perjalanan.
“Pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000, manakala maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi Aplikasi PLUS dan platform media sosial rasmi PLUS,” tambahnya.
Menurut PLUS, aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat trafik secara masa nyata, bantuan kecemasan (SOS), maklumat insiden, anggaran kadar tol, lokasi R&R, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta maklumat perkhidmatan lebuh raya lain.-MalaysiaGazette
















