MELAKA – Padah bergaduh gempar memukul jiran kerana isu sampah, tiga beranak didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu, tahun lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhi hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, W. Norizan W. Husain, 50, serta dua anaknya, Nurathirah Natasha Kamarul Zaman, 29, dan Muhammad Alif Najmi Kamarul Zaman, 21.
Dua lagi tertuduh yang juga jiran mereka, Md. Isaa Osman, 62, dan isterinya, Deni Rismayani Purba, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain di tempat awam di Lot 1973, Jalan Permatang Pasir, Alai, Melaka Tengah kira-kira pukul 3.45 petang 15 Oktober 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan, pergaduhan tercetus selepas anak Nurathirah berusia 11 tahun membuang sampah berhampiran rumah pasangan suami isteri berkenaan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati sehingga membawa kepada pergaduhan.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Mawardi Zainudin yang mewakili tiga beranak itu merayu hukuman ringan dengan alasan keluarga W. Norizan hanya berniaga di pasar malam sebagai sumber pendapatan.
Nurathirah pula hujahnya, mempunyai lapan anak berusia antara 11 tahun hingga setahun dan kesemuanya ditanggung suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,700 sebulan.
Muhammad Mawardi yang turut mewakili Md. Isaa memohon supaya warga emas itu dibenarkan ikat jamin kerana hanya membantu isterinya berniaga dan mempunyai pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tiga beranak berkenaan sebagai pengajaran, manakala jaminan RM8,000 hanya ditawarkan terhadap Md. Isaa.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM600 masing-masing terhadap tiga beranak terbabit atau penjara sebulan jika gagal bayar.
Pasangan suami isteri itu pula dibenarkan dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Kes sebutan semula bagi Md. Isaa dan isterinya, Deni Rismayani ditetapkan pada 12 Oktober depan. – MalaysiaGazette
















