KUANTAN – Agenda untuk memastikan tiada rakyat Pahang tercicir daripada arus pembangunan menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kejayaan kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan tidak seharusnya dilihat sekadar pencapaian angka, sebaliknya membabitkan nasib ribuan keluarga yang perlu terus dibela.
Katanya, pada 19 Februari lalu, kerajaan negeri berjaya menoktahkan statistik miskin tegar apabila kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari lalu berjaya dikeluarkan daripada status berkenaan.
Dalam masa sama, ujarnya, sebanyak 4,263 daripada 14,210 KIR berstatus miskin pada 5 Jun lalu berjaya dikeluarkan daripada kelompok itu, sekali gus memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus.
“Namun, bagi saya, angka-angka ini bukan sekadar angka.
“Di sebalik setiap angka itu ada keluarga, ada ibu bapa yang berjuang membesarkan anak-anak, ada anak-anak yang mahu belajar dan ada keluarga yang kita mahu lihat akhirnya mampu berdikari serta menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar bukan noktah, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan mereka yang telah keluar daripada kemiskinan tidak kembali semula.
“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan rakyat mempunyai pekerjaan, pendapatan yang stabil dan akhirnya mampu berdiri dengan kaki sendiri,” tambah.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menyedari data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik kerana perubahan pekerjaan, pendapatan, saiz keluarga dan keadaan sosioekonomi boleh mengubah kedudukan sesebuah isi rumah dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, katanya, usaha membantu rakyat tidak boleh dihentikan dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat serta seluruh jentera kerajaan.
“Kerja kita belum selesai. Kita mesti terus membantu mereka yang masih memerlukan dan memastikan setiap keluarga yang memerlukan tidak kita biarkan bersendirian,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, usaha membasmi kemiskinan perlu disusuli pembangunan ekonomi yang mampu memberikan rakyat peluang meningkatkan taraf hidup melalui usaha dan kemampuan sendiri.
Katanya, kesejahteraan rakyat tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bantuan, sebaliknya kerajaan perlu membina ekonomi yang kukuh, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, membuka ruang keusahawanan, menarik pelaburan serta memperkukuh pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita mahu rakyat bukan sekadar menerima bantuan, tetapi diberikan peluang untuk mengubah kehidupan mereka, meningkatkan pendapatan dan akhirnya berdikari,” katanya.
Ujarnya, pendekatan itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau lokasi. – MalaysiaGazette
















