ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan RM47.13 juta bagi pelaksanaan rayuan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang akan memberi manfaat kepada 235,545 Bangsa Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan rayuan tersebut merupakan kesinambungan kepada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan bantuan disediakan benar-benar sampai kepada rakyat yang layak, khususnya selepas mengambil kira maklum balas yang diterima sepanjang pelaksanaan BKJ Fasa 4.
“Sejak BKJ Fasa 4 dilaksanakan, Kerajaan Negeri menerima pelbagai maklum balas dan rayuan daripada Bangsa Johor.
“Kita dengar, kita teliti dan kita semak supaya mereka yang benar-benar memenuhi syarat diberikan pertimbangan sewajarnya.
“Syukur, Alhamdulillah, sebanyak RM47.13 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan rayuan ini dan akan memberi manfaat kepada lebih 235,000 Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 mengangkat sumpah jawatan depan Speaker DUN Johor, Datuk Zahari Sarip pada persidangan pertama DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, pelaksanaan rayuan BKJ Fasa 4 merangkumi 21 kategori bantuan yang menyentuh pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baru berkahwin, penjaja dan peniaga kecil, golongan OKU, anak yatim, keluarga miskin, penggerak komuniti, petugas serta sukarelawan.
Katanya, pendekatan tersebut selari dengan matlamat BKJ yang diperkenalkan bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial, meringankan beban kos sara hidup serta memastikan kemajuan dan peningkatan hasil negeri dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa apabila hasil negeri meningkat, manfaatnya perlu dikembalikan kepada rakyat. Sebab itu kita terus menambah baik BKJ dan memberi ruang rayuan supaya mereka yang layak tidak tercicir.
“Saya sedar dan insaf yang kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua perkara dalam satu masa, tetapi selagi ada kemampuan, Insya-Allah kita akan terus berusaha membantu lebih ramai Bangsa Johor dan memastikan kemakmuran negeri ini dapat dikongsi bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















