BATU PAHAT – Jurubahasa mahkamah terpaksa menghabiskan masa lebih 30 minit untuk membacakan dua kes melibatkan 14 pertuduhan keatas seorang lelaki yang dituduh menjadi keldai akaun ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Bagaimana pun, Pee Wei Onn, 29 yang yang tiba di mahkamah pukul 8.20 pagi dan bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menggunakan akaun syarikat Infinity Nine Global Sdn Bhd miliknya untuk menerima 14 transaksi berjumlah RM589,000 bermula 14 Februari hingga 26 Jun 2025.
Bagi kesalahan pertama hingga ke empat tertuduh dituduh telah menggunakan akaun Hong Leong Bank Berhad untuk menerima kemasukan wang berjumlah RM29,000 daripada Raihan Nadhirah Mohd Redzuan pada 17 hingga 24 Mac 2025 di sebuah rumah di Jalan Mutiara Perdana, Taman Mutiara Perdanan.
Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara kesalahan kelima hingga ke-14, tertuduh didakwa telah menggunakan akaun CIMB Islamic Bank menerima kemasukan wang melalui 10 transaksi daripada Wong Kin Thong berjumlah RM560,000 pada 29 Mei hingga 26 Jun 2025 di rumah yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan yang kemudiannya menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap kes.
Bagaimana pun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya menafikan menjadi keldai akaun dan mendakwa akaun bank syarikat miliknya telah digunakan oleh scammer tanpa pengetahuannya serta memohon diringankan hukuman.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM70,000 serta menetapkan 24 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat dua kali sebulan, tidak boleh mendekati mangsa dan menyerahkan passport kepada mahkamah. – MalaysiaGazette
















