LYON, Perancis – Sebuah kereta kabel melanggar kren di pusat peranginan Alpe d’Huez, Perancis, menyebabkan 23 orang cedera, termasuk tiga parah, menurut pihak berkuasa pada Khamis.
Datuk Bandar Alpe d’Huez, Jean-Yves Noyrey berkata, kira-kira 50 orang berada di dalam kabin kereta kabel ketika kemalangan berlaku pada pagi Rabu pada ketinggian 2,300 meter.
“Sebahagian besar mengalami kejutan dan kes gegaran otak,” katanya kepada AFP, sambil memaklumkan beliau percaya kebanyakan mangsa sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya, kereta kabel direka untuk menstabilkan kedudukannya sekiranya membrek secara mengejut.
“Namun, ketika melanggar kren, kabin itu condong dan penumpang di dalamnya tergelincir,” katanya.
“Mereka menyangka akan mati, tetapi pengendali bertindak dengan baik dengan mengundurkan kereta kabel untuk mengembalikan kedudukan kabin,” katanya.
Pejabat wilayah memaklumkan seramai 23 orang cedera, termasuk tiga dalam keadaan kritikal dan 13 lagi mengalami kecederaan serius. – Agensi
















