KUANTAN – Seluruh Kerabat Diraja Negeri Pahang Darul Makmur berkabung selama tiga hari berikutan kemangkatan kakanda Sultan Pahang, Almarhumah Datuk Seri Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah semalam.
Al- Sultan Abdullah menitahkan tempoh berkabung itu bermula 27 hingga 29 Ogos 2026 sebagai tanda penghormatan dan dukacita atas pemergian Almarhumah.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, sepanjang tempoh tersebut, seluruh kerabat dikehendaki mengenakan pakaian berwarna putih.
“Kerabat lelaki turut dikehendaki memakai songkok yang dililit kain putih sebagai tanda berkabung.
“Kaum keluarga Kerabat Diraja Pahang juga digalakkan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin buat Almarhumah,” menurut kenyataan tersebut.
Pemergian Almarhumah disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Negeri Pahang, khususnya Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang.
Sehubungan itu, seluruh rakyat Pahang turut diseru bersama-sama menghadiahkan bacaan Al-Fatihah serta mendoakan agar roh Almarhumah mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam syurga-Nya.
Terdahulu Almarhumah selamat dimakamkan di Makam Diraja Pekan pada petang tadi.
Istiadat pemakaman berlangsung penuh penghormatan dan adat istiadat Diraja Pahang, disaksikan Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang.
Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Ali Mohd Rustam dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette
















