KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bertekad membersihkan namanya daripada pertuduhan menerima rasuah hampir RM1.1 juta sambil mendakwa ia `pendakwaan liar’ dan bermotif politik.
Meskipun terkejut dengan pertuduhan yang dikenakan, Timbalan Presiden MIC itu berkata, beliau tidak berasa malu `diheret’ ke mahkamah kerana yakin fakta sebenar akan didedahkan ketika prosiding berlangsung.
“Saya langsung tidak rasa malu dengan tuduhan ini, rakyat akan tahu nanti macam mana anda tuduh saya dengan maklumat-maklumat palsu,” ujar beliau pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut mendakwa, pertuduhan berkenaan bukan cara untuk menjatuhkannya sebagai ahli politik.
Beliau sebaliknya mencabar pihak-pihak untuk mengemukakan calon terbaik untuk bertanding dengannya di kawasan itu pada pilihan raya akan datang.
“Ini bukan cara kalau nak jatuhkan saya, jangan gunakan taktik macam ini untuk jatuhkan seorang ahli politik,” katanya.
Saravanan selanjutnya mendakwa tidak mengenali atau mempunyai hubungan dengan mana-mana individu yang disebut dalam pertuduhan.
“Saya tidak mengenali mereka kecuali Syed Amirul, saya tidak mempunyai hubungan dengannya,” katanya.
Pemimpin MIC itu turut meminta supaya kelewatan prosiding tidak digunakan sehingga menjejaskan reputasinya kerana beliau mempunyai tanggungjawab terhadap ahli parti.
“Jangan gunakan taktik melengah-lengahkan prosiding untuk memburukkan nama saya, kalau betul-betul ikhlas mahu mendakwa saya, cepatkan kes ini,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan menafikan pernah meminta bantuan Perdana Menteri untuk melindunginya daripada pertuduhan tersebut.
“Saya bukan meminta perdana menteri untuk melindungi saya, saya meminta perdana menteri membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terlibat.
“Saya tidak meminta beliau membantu saya untuk menyelesaikan perkara ini, saya meminta supaya siasatan diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
















