KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan pembangunan talian penghantaran National Grid Backbone 500kV baharu yang akan memperkukuh keterjaminan tenaga negara serta menyokong keperluan bekalan elektrik pada masa hadapan.
Perasmian tapak projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV Kampung Awah di Maran, Pahang yang akan menghubungkan lokasi strategik merentasi pantai timur Semenanjung
Malaysia.
TNB berkata, projek strategik itu akan menghubungkan lokasi penting merentasi pantai timur Semenanjung Malaysia dan direka bagi meningkatkan daya tahan, kebolehpercayaan, fleksibiliti serta kapasiti penghantaran Grid Nasional.
Apabila siap pada 2030, National Grid Backbone berkenaan akan menjadi sistem penghantaran 500kV terpanjang pernah dibangunkan di Malaysia dengan jarak keseluruhan kira-kira 500 kilometer.
Majlis perasmian tapak PMU Kampung Awah disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan kehadiran Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
PMU Kampung Awah akan menjadi salah satu nod penghantaran strategik bagi National Grid Backbone, sekali gus meningkatkan kapasiti penghantaran dan pemindahan tenaga antara wilayah serta memperkukuh kebolehpercayaan rangkaian elektrik Semenanjung Malaysia.
Dengan lokasi strategik di sepanjang koridor penghantaran Paka-Kampung Awah-Bahau South-Kulai East, PMU Kampung Awah akan memperkukuh kesalinghubungan grid serta menyediakan kapasiti tambahan bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan sedia ada dan akan datang.
TNB berkata, projek itu juga akan menyokong pertumbuhan aktiviti perindustrian dan komersial, memudah cara pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang kepada rantaian bekalan tempatan dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, operasi dan perkhidmatan berkaitan.
National Grid Backbone 500kV akan merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan serta kecekapan dan daya tahan Grid Nasional.
Pembangunan itu juga akan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya dengan membolehkan integrasi lebih banyak sumber tenaga boleh baharu di Wilayah Timur.
TNB berkata pihaknya melabur RM43 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk pembangunan dan pemodenan grid elektrik Malaysia bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kapasiti Grid Nasional.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, pembangunan National Grid Backbone 500kV mencerminkan komitmen syarikat untuk melabur dalam infrastruktur kritikal yang dapat memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
“Grid yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan adalah asas penting bagi Malaysia untuk memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik, mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“National Grid Backbone 500kV akan memperkukuh tulang belakang sistem penghantaran Semenanjung Malaysia dengan menyediakan kapasiti dan fleksibiliti yang diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga negara yang terus berkembang, di samping memacu pelaksanaan NETR,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pembangunan PMU Kampung Awah meletakkan Pahang pada kedudukan strategik dalam Grid Nasional dan berpotensi menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan hijau serta berteknologi tinggi ke negeri itu.
Beliau berkata kapasiti penghantaran yang lebih besar dan kebolehpercayaan grid akan membantu Pahang menyokong industri baharu, pelaburan bernilai tinggi serta pembangunan tenaga boleh baharu.
Projek berkenaan turut dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi Pahang melalui peluang perniagaan dan pekerjaan dalam rantaian bekalan tempatan. – MalaysiaGazette
















