Seramai 15 orang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya mendapat dana berjumlah RM3,000 setiap seorang daripada program Fun(d) for Life anjuran Arus Academy dan FWD Insurance bersama 42 pelajar institut pengajian tinggi yang lain dari zon Sabah/Labuan yang turut menerima dana tersebut.

Dana itu diterima pada majlis penganugerahan geran di Likas Square Aparment Hotel, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Para pelajar menerima dana itu atas kejayaan mereka melaksanakan projek komuniti literasi kewangan susulan penyertaan mereka dalam latihan intensif beberapa bulan yang lepas.

Dengan jumlah penerima seramai 15 individu, KV Keningau membawa pulang wang berjumlah RM45,000 secara menyeluruh.

Pelajar berkenaan adalah Veronicca Sairin; Muhammad Alif Nazrul Nasir; Yosrieani Manjamain; Jason Robert Sopining; Alley Alveela Kiflee @ Felix; Ashley Olivia Thien Hsieh Yun; Lawarniah Vijayan, Beverly Yohana Low Jia Wei; Chriscaseyvel Erey; Rusell Razali; Dexter Erwinn Darmawan; Danish Asyraf Bin Mazali; Dave Joseph; Priyanka Angel Anthony dan Elisha Carmen Erick.

“Para pelajar ini telah diberi bimbingan oleh pihak penganjur berkenaan dengan pengurusan wang termasuklah perbelanjaan jangka masa pendek serta jangka masa panjang, amalan menabung dan strategi pelaburan yang bijak sepanjang tiga hari kem latihan di Klagan Regency, Kota Kinabalu pada bulan Mei, bersama dengan peserta-peserta terpilih yang lain.

“Setiap mereka menerima geran mikro berjumlah RM300 untuk melaksanakan kempen kesedaran literasi kewangan di komuniti masing-masing. Para pelajar KV Keningau telah melaksanakan beberapa program berbentuk ceramah bersemuka, webinar, kelas tutorial, pertandingan kuiz, karnival permainan secara reruai dan permainan berpapan yang berpusat di kolej tersebut dan juga di beberapa tempat di daerah lain dalam usaha mereka meningkatkan kesedaran para belia serta kanak-kanak tentang kepentingan pengurusan wang yang terancang,” katanya dalam kenyataan.

Para pelajar yang sama kemudiannya menyiapkan beberapa tugasan bertulis setelah melaksanakan projek-projek ini untuk melayakkan mereka menerima anugerah tersebut.

Kesemua peserta dari KV Keningau berjaya memenuhi kriteria penganugerahan dan rombongan itu hadir di majlis anugerah bersama dengan Farizah Parmen yang merupakan ketua program pengurusan perniagaan kolej ini.

Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berbangga dengan pencapaian para pelajar  atas kejayaan mereka melaksanakan projek komuniti yang berimpak tinggi yang menunjukkan tahap kepimpinan yang wajar dikagumi.

Lumang juga menyokong usaha menyemai literasi kewangan di kalangan para belia agar mereka bijak mengatur perancangan masa hadapan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here