PUTRAJAYA, 28 Ogos 2026 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melantik tokoh ulama pondok di Kelantan, Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki sebagai Profesor Adjung (Industri) di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).
Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dilantik sebagai Profesor Adjung (Industri) bagi tempoh dua tahun.
Surat pelantikan beliau disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr Mushaddad Hasbullah mewakili Naih Canselor USIM dengan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan dalam satu majlis di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Pelantikan ini merupakan langkah strategik USIM dalam memperkukuh pengajian Islam berteraskan turath, khususnya melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman ulama dalam bidang pengajian al-Quran, al-Sunnah serta kitab-kitab turath.
Sementara itu, Dr. Mushaddad Hasbullah menyifatkan pelantikan ini merupakan langkah strategik USIM dalam memperkukuh pengajian Islam berteraskan turath, khususnya melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman ulama dalam bidang pengajian al-Quran, al-Sunnah serta kitab-kitab turath.
”Insya-Allah, pelantikan ini turut membuka ruang yang lebih luas untuk USIM mengintegrasikan tradisi keilmuan pondok bersama institusi pengajian tinggi, agar khazanah ilmu turath dapat terus diperkasa, dipelajari dan dikembangkan dalam konteks pendidikan tinggi semasa” tambahnya.
Melalui pelantikan sebagai Profesor Adjung (Industri), Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki bakal menyumbang kepakaran serta pengalaman beliau dalam bidang berkaitan bagi memperkayakan ekosistem akademik dan pembangunan ilmu di FPQS khususnya dan universiti secara keseluruhannya.
Sepanjang tempoh pelantikan, pengalaman dan kepakaran beliau akan dimanfaatkan oleh warga universiti dengan siri-siri lawatan ke fakulti, menyampaikan kuliah, syarahan umum dan ceramah kepada pelajar serta warga universiti dalam program dan aktiviti yang bersesuaian.
Pada masa yang sama, Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki akan terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan program berkaitan kepakaran yang dianjurkan oleh FPQS atau USIM, termasuk persidangan, seminar, forum, syarahan serta perbincangan meja bulat.
Pelantikan ini diyakini dapat memperluas ruang perkongsian ilmu dan pengalaman antara akademia dengan pemain industri serta institusi berkaitan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mahasiswa dan memperkukuh hubungan strategik USIM dengan pihak luar.
Kerjasama tersebut juga berpotensi membuka lebih banyak peluang jaringan, penyelidikan, perkongsian kepakaran serta program pembangunan ilmu yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.
Pelantikan ini juga secara langsung meneroka kolaborasi baharu USIM dengan institusi pondok di dalam negara sekaligus akan menjadi platform dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Islam yang menghubungkan tradisi keilmuan ulama dengan kekuatan akademik institusi pengajian tinggi. – MalaysiaGazette
















