KUALA LUMPUR – UMNO bersetuju untuk membuat jemputan rasmi kepada pucuk pimpinan tertinggi Pas untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada bulan depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf berkata, jemputan itu sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas.
“Sempena Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada 9 hingga 12 September akan datang, tiga program utama akan diadakan sehari lebih awal iaitu pada Selasa, 8 September iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.
“Ketiga-tiga program ini terbuka kepada orang awam,” katanya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di sini malam tadi.
Sementara itu, mesyuarat itu juga menyaksikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim sebagai ahli MKT UMNO yang baharu.
Awal bulan ini, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Ia susulan kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi dan Pakatan Harapan memenangi 11 kerusi.
Keputusan itu menyaksikan BN dan PN memperoleh 25 kerusi DUN, sekali gus majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baharu. – MalaysiaGazette
















