KUALA LUMPUR: Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjelaskan beliau menghormati pendirian bapanya yang juga Presiden UMNO berhubung kedudukannya dalam politik.
Menurutnya, selagi bapanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berada di Parlimen, beliau tidak perlu berlumba untuk berada di ruang atau dewan Parlimen yang sama.
Apatah lagi, ujarnya, politik bukan hanya tentang menjadi Ahli Parlimen.
Sebaliknya, jelas beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN); pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan platform parti juga boleh menjadi medan untuk berkhidmat.
“Yang penting ialah kerja dan khidmat secara konsisten,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Tegas Nurulhidayah, meskipun merupakan seorang anak kepada pemimpin politik, namun ia tidak bermakna beliau mempunyai hak automatik terhadap mana-mana kerusi di Parlimen.
Ujarnya, nama keluarga mungkin membuka ruang untuk orang mengenali seseorang, tetapi kepercayaan rakyat tidak boleh diwarisi, tetapi ia mesti diusahakan.
Namun, tambah beliau, sekiranya diberikan peluang lebih jauh dalam politik, ia biarlah disebabkan beliau benar-benar layak.
“Kerana saya sememangnya suka bekerja dan diterima rakyat bukan semata-mata kerana saya anak kepada siapa,” katanya. – MalaysiaGazette
















