AMPANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi isu agama dan kaum untuk menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat kerana tindakan itu boleh menggugat asas perpaduan negara.
Beliau berkata, perbezaan agama, kaum, budaya dan pandangan politik sememangnya wujud dalam masyarakat, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan rasa curiga antara satu sama lain.
Menurutnya, rakyat perlu memahami Malaysia dibina atas asas kesepakatan serta penerimaan terhadap kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara sejak merdeka.
“Boleh berbeza pandangan, tetapi hati-hati dengan mereka yang keras menyemai benih perpecahan, menyemai perbezaan.
“Apatah lagi menggunakan elemen-elemen emotif seperti agama yang terbukti membawa kehancuran ke banyak tempat,” katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, usaha memperkukuh perpaduan perlu diberi keutamaan kerana objektif pertama Rukun Negara adalah membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Beliau berkata, perbezaan yang ada perlu diurus secara matang dengan menjadikannya asas untuk saling memahami, bukannya dijadikan modal politik bagi membangkitkan kebencian.
“Jangan ikut hati, jangan ikut emosi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat mempunyai hak untuk menuntut perubahan dan mengkritik kerajaan, namun tuntutan tersebut perlu disertai cadangan serta alternatif yang jelas
“Politik yang hanya memainkan sentimen tanpa menawarkan penyelesaian tidak akan membawa negara ke arah lebih baik,” katanya.
Katanya lagi, rakyat juga perlu berhati-hati terhadap pihak yang menggunakan retorik pemisahan dan kebencian semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Saya yakin secara majoriti rakyat dalam negara kita masih ada akar rasional dan waras yang mampu berfikir dengan betul.
“Fokusnya dengan emosi-emosi yang tidak sepatutnya difikirkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















