Reaksi ahli keluarga kepada 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Wisma Putra diminta memperhebat usaha mengesan dan menyelamat 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal.

Ahli Majlis Tertinggi MIC merangkap Pengerusi Biro Kesihatan MIC Kebangsaan, Dr T. Novalan berkata, setiap minit amat berharga ketika keluarga di Malaysia masih menanti khabar mengenai keselamatan insan tersayang.

Katanya kepada MalaysiaGazette, laporan mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi selepas bencana melanda daerah Rasuwa, Nepal, amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.

“Di Malaysia, ada ibu yang menunggu khabar anaknya, ada anak yang menanti kepulangan ibu bapanya dan ada keluarga yang setiap saat berharap telefon mereka berdering membawa berita bahawa insan tersayang masih selamat.

“Dalam keadaan bencana, setiap minit amat berharga. Bagi keluarga yang sedang menunggu, setiap jam tanpa berita terasa terlalu lama.

“Jangan biarkan mereka terus menunggu dalam ketakutan dan ketidakpastian,” katanya.

Dr T Novalan

Menurutnya, semua saluran diplomatik, kepakaran dan sumber yang bersesuaian perlu digunakan sekiranya keadaan memerlukan terutama bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang dengan selamat.

“Saya percaya kerajaan sedang melakukan yang terbaik namun, sekiranya keadaan memerlukan, gunakanlah segala saluran diplomatik, kepakaran dan sumber yang bersesuaian untuk membantu membawa rakyat kita pulang dengan selamat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu serta semua pihak yang sedang bertungkus-lumus membantu rakyat Malaysia di Nepal.

Katanya, dalam situasi genting seperti ini, soal politik, kaum dan agama perlu diketepikan kerana keselamatan nyawa manusia mesti menjadi keutamaan.

Novalan turut menyeru rakyat Malaysia supaya mendoakan keselamatan mereka yang terjejas serta memberikan kekuatan kepada keluarga yang masih menanti perkembangan.

“Kepada keluarga yang sedang menunggu, seluruh rakyat Malaysia bersama anda.

“Kita berdoa agar berita yang dinantikan adalah berita bahawa insan tersayang anda selamat dan dapat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here