Aksi kumpulan Nominos pada 'Malam Rhythm of the Farmers (ROTF) bertemakan Night of Vocal Supreme sempena MAHA 2026 malam tadi.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 pengunjung membanjiri Perkampungan Bang Mat, MAEPS Serdang malam tadi, bagi menyaksikan kemeriahan ‘Malam Rhythm of the Farmers (ROTF) bertemakan Night of Vocal Supreme sempena MAHA 2026.

Pentas ROTF bermula pukul 8.30 malam itu dimeriahkan empat nama popular tanah air iaitu kumpulan Nominos dan Sixth Sense, selain penyanyi Hazama serta Hael Husaini yang menghiburkan pengunjung menerusi persembahan muzik, vokal dan elemen nostalgia.

Program dimulakan dengan persembahan Nominos yang menyampaikan tiga buah lagu sebelum pentas diteruskan dengan kemunculan Hazama.

Hazama mencuri perhatian menerusi lagu Malaikat, diikuti Relakan Jiwa dan Penglipur Lara, sekali gus mengundang sorakan serta nyanyian bersama daripada pengunjung.

Kemeriahan diteruskan dengan persembahan Hael Husaini menerusi tiga lagu popularnya, Jampi, Hajat dan Kelentang-Kelentong.

Sementara itu, kumpulan Sixth Sense membawa sentuhan nostalgia menerusi lagu Yang Sempurnakan Ku, Tanpa dan Khatimah Cinta yang turut mendapat respons positif daripada pengunjung.

Gabungan empat nama popular berkenaan menjadikan Night of Vocal Supreme antara pengisian utama ROTF yang menarik perhatian pengunjung untuk menikmati hiburan selepas aktiviti siang di MAHA 2026.

Penganjur, MARDI Corporation berkata, ROTF diwujudkan sebagai antara pengisian hiburan utama MAHA 2026 bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung menerusi gabungan persembahan muzik, kebudayaan dan aktiviti interaktif.

“Pelbagai pengisian hiburan disusun secara berterusan bagi meningkatkan keterlibatan pengunjung selain mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang penganjuran MAHA,” katanya dalam satu kenyataan.

ROTF berlangsung setiap malam sepanjang MAHA 2026 sehingga 6 September ini dengan menampilkan barisan artis tempatan menerusi tema persembahan berbeza.

Pengunjung yang masih belum berkesempatan menyaksikan ROTF masih mempunyai peluang menikmati persembahan artis terkenal pada malam-malam berikutnya.

ROTF bakal melabuhkan tirai pada 6 September ini menerusi persembahan khas bertemakan ‘Soul Journey yang dijadualkan bermula pukul 5.30 petang.

Menurut MARDI Corporation, ROTF bukan sekadar memberi tumpuan kepada persembahan muzik, malah turut mengetengahkan elemen hiburan lain termasuk persembahan buskers, aktiviti kebudayaan dan pengisian santai untuk pengunjung.

“Penekanan turut diberikan terhadap aspek produksi, penjenamaan serta pengalaman pengunjung bagi memperkukuh identiti ROTF sebagai platform hiburan yang dinamik dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here