KUALA LUMPUR – Polis menyiasat penjualan tudung corak Jalur Gemilang tidak lengkap di sebuah pasar raya di sini, susulan penularan video berkaitan isu berkenaan di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 4.49 petang, semalam susulan penularan video terbabit.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati hanya sebahagian daripada tudung berkenaan mempunyai corak Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan produk itu diterima daripada pihak pembekal.
“Susulan penularan video itu, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, iaitu berkaitan penggunaan Jalur Gemilang yang tidak mencukupi sifat.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Baru-baru ini dilaporkan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memohon maaf susulan penjualan tudung bertemakan Jalur Gemilang yang mempunyai reka bentuk bintang tidak lengkap.
Mydin dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu dan sudah mengarahkan semua cawangannya menghentikan jualan produk berkenaan serta-merta.
Menurutnya, semakan mendapati isu tersebut berpunca daripada kesilapan cetakan oleh pihak pembekal. – MalaysiaGazette
















