Hong Ping mengedarkan Jallur Gemilang kepada peniaga dan orang ramai di Pasar Awam Maharani di Bentayan, Muar.

JOHOR BAHRU – Manipulasi isu Jalur Gemilang dan pendekatan penguatkuasaan yang keterlaluan jika tersalah pasang didakwa kini menakutkan serta mematahkan semangat orang ramai untuk mengibarkan bendera itu menjelang bulan kemerdekaan.

Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin mendakwa, ahli-ahli politik daripada blok kerajaan dan pembangkang yang tidak bertanggungjawab memainkan isu tersebut secara keterlaluan sekali gus memberi kesan terhadap rakyat.

“Saya menyeru ahli-ahli politik kerajaan mahupun pembangkang supaya berpolitik secara rasional, memberi lebih tumpuan kepada perbahasan dasar dan menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab yang mencetuskan perpecahan serta memanipulasi politik identiti demi kepentingan politik, sehingga akhirnya menggadaikan kepentingan jangka panjang negara.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap kali menjelang bulan kemerdekaan pada Ogos, akan ada ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap kesilapan tidak disengajakan berkaitan Jalur Gemilang untuk mencetuskan kontroversi, sekali gus menyindir dan mempersoalkan semangat patriotik kelompok tertentu.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja memburukkan perpecahan dalam masyarakat majmuk negara kita, malah turut mematahkan semangat orang ramai yang ingin menzahirkan rasa cinta kepada negara secara ikhlas,” katanya dalam kenyataan hari ini.sama

Jalur Gemilang dan bendera Johor yang dipasang terbalik di Kawasan SILC, Iskandar Puteri.

Beliau berkata, sepanjang beberapa minggu lalu, orang ramai ada menyuarakan kebimbangan kepadanya ketika mengedarkan Jalur Gemilang di beberapa lokasi tumpuan dalam Parlimen Bakri.

Menurutnya, antara kebimbangan yang sering didengari adalah sama ada mereka akan dikenakan tindakan sekiranya Jalur Gemilang tersalah pasang.

“Ada yang bimbang, ada yang bergurau dan ada juga yang menyindir. Namun, satu perkara yang jelas ialah masyarakat tanpa mengira kaum rata-rata tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan manipulasi isu sedemikian oleh sesetengah ahli politik, serta pendekatan penguatkuasaan pihak berkuasa yang dilihat selektif dan keterlaluan,” katanya.

Hon Ping berpendapat, mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan pada asalnya merupakan tindakan sukarela yang lahir daripada rasa cinta kepada negara dan sewajarnya digalakkan.

Namun katanya, akibat manipulasi politik yang tidak bertanggungjawab sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta pendekatan penguatkuasaan secara keterlaluan, bulan kemerdekaan yang sepatutnya diraikan dalam suasana meriah dan penuh kegembiraan kini diselubungi ketakutan yang tidak sepatutnya wujud.

Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, Iskandar Puteri sebelum diarahkan menghentikan operasi serta-merta.

Ujarnya, orang ramai bimbang bahawa satu kesilapan yang tidak disengajakan ketika cuba menzahirkan semangat patriotik bukan sahaja boleh membawa kesan sebaliknya sehingga mereka dilabel atau dipersoalkan sebagai ‘tidak patriotik’, malah mungkin berdepan tindakan undang-undang.

“Justeru, saya sekali lagi menyeru ahli-ahli politik di negara ini supaya bersikap rasional dan terkawal serta menghentikan manipulasi isu kaum dan identiti. Berikan ruang yang sewajarnya kepada semua untuk menzahirkan semangat patriotik secara bebas,” katanya.

Pada masa sama katanya, semua pihak berkuasa berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan perlu mengubah pendekatan lama yang terlalu kaku, sebaliknya menggunakan pendekatan yang lebih berbentuk galakan dan promosi.

Ujarnya, ini supaya orang ramai dengan rela hati mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara, bukan melakukannya sekadar untuk mengelakkan hukuman dalam keadaan penuh kebimbangan.

Tambah beliau, semangat patriotik seharusnya lahir daripada rasa cinta dan rasa memiliki terhadap negara, bukannya daripada ketakutan terhadap hukuman.

Pihak MPKu mengeluarkan notis penutupan sementara sebuah kilang kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik

“Hanya apabila kita semua mempunyai ruang untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara secara bebas dan sukarela, barulah bulan kemerdekaan benar-benar dapat menjadi bulan yang diraikan bersama dan menyatukan seluruh masyarakat Malaysia,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, portal ini melaporkan Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta merta operasi kilang alat ganti dalam kawasan Perindustrian Kulai selepas dikesan memasang Jalur Gemilang secara terbalik yang didakwa pihak pengurusan kilang dipasang warga Nepal.

Kemudian pada 20 Ogos lalu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengarahkan sebuah kilang di Taman Perindustrian SILC di Iskandar Puteri yang memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik menghentikan operasi serta-merta.

Wakil kilang berkenaan mendakwa ‘tersilap pasang’ semasa pihak MBIP melakukan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilaporkan berkata, tiga kertas siasatan di seluruh Johor sudah dibuka membabitkan kesalahan tersebut termasuk satu lagi kes di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here